suria

Laporan Penuh Bedah Siasat Selepas Analisis Jabatan Kimia - KP Kesihatan

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (tengah) ketika sidang akhbar mengenai perkembangan terkini kematian Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Isnin. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Laporan penuh mengenai bedah siasat mayat Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, akan dikeluarkan selepas Jabatan Kimia menyiapkan analisis forensiknya.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil bedah siasat itu akan membantu menentukan punca kematian dan identiti sebenar si mati.

Bercakap pada sidang akhbar yang padat dengan petugas media di sini, Selasa, beliau berkata tiada tempoh khusus ditetapkan analisis itu perlu disiapkan.

Menurut Dr Noor Hisham, setakat ini, spesimen hanya diambil daripada tubuh si mati, yang meninggal dunia dalam keadaan misteri, dan tiada sebarang spesimen diambil daripada warisnya.

"Setakat ini, belum ada sesiapa yang mendakwa sebagai warisnya dan kami masih menunggu mereka," kata beliau.

Menurut laporan, Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) pada 13 Februari lepas kerana menunggu untuk menaiki pesawat ke Macau apabila secara tiba-tiba seorang wanita menekup mukanya dengan kain dipercayai mengandungi racun.

Beliau segera dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi meninggal ketika dalam perjalanan.

Lelaki itu tiba di Malaysia pada 6 Februari menggunakan pasport dengan nama Kim Chol.

Ditanya sama ada Jong-nam menunjukkan sebarang tanda serangan jantung sebelum kematiannya, Dr Noor Hisham berkata tidak terdapat keterangan tentang perkara itu.

Beliau berkata bedah siasat mendapati tubuh si mati tidak mempunyai kesan cucuk yang ketara.

Beliau juga menolak khabar angin bahawa bedah siasat kali kedua telah dilakukan terhadap mayat si mati seperti yang dilaporkan media asing.


Dr Noor Hisham berkata mayat berkenaan menjalani bedah siasat penuh dengan menggunakan kaedah tomografi serta pemeriksaan luaran dan dalaman secara berkomputer, di samping pemeriksaan gigi forensik.

"Semuanya dilakukan secara profesional di premis sama dan mematuhi standard antarabangsa," katanya serta menjelaskan bahawa mayat berkenaan dikendalikan secara terhormat, dengan spesimen medikolegal diambil mengikut peruntukan undang-undang bagi memelihara rantaian penyimpanannya.

Mengenai tindakan lanjut yang akan diambil sekiranya waris tidak menampilkan diri untuk mengenal pasti dan menuntut mayat si mati, Dr Noor Hisham berkata pasukan forensik akan meneliti rekod perubatan si mati.

"(Sebagai contoh) rekod pergigian, jika kami mempunyainya, kami boleh melakukan suai padan dan pemeriksaan luaran untuk mengetahui sama ada si mati pernah menjalani pembedahan, mempunyai parut atau tahi lalat," kata beliau dan menjelaskan bahawa bagaimanapun, akses kepada rekod itu belum terdapat ketika ini.

Ditanya sama ada terdapat tanda-tanda kehadiran racun pada tubuh si mati, Dr Noor Hisham berkata perkara itu bergantung pada hasil analisis Jabatan Kimia.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain