suria

PPBM Jangan 'Heret' PAS Lagi

Nasrudin Hassan Tantawi

KUALA LUMPUR: PAS berkata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak harus 'mengheret' parti Islam itu supaya menyertai blok pembangkang yang menjalinkan kerjasama politik dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Ketua Penerangannya Nasrudin Hassan Tantawi berkata, PAS tetap mempertahankan pendirian tegasnya, iaitu untuk tidak mengadakan sebarang hubungan dengan dua parti itu yang dianggap telah mengkhianatinya.

Sebaliknya beliau berkata, PAS kini komited untuk kekal sebagai blok ketiga yang dinamakan Gagasan Sejahtera.

"Mana-mana parti yang mahu bekerjasama dan nak buat hubungan dengan PAS, kita telah letak syarat mudah iaitu mereka tak boleh heret PAS untuk duduk sama dengan DAP dan Amanah.

"Kalau PPBM nak bersama dengan PAS mereka tak boleh minta PAS duduk sekali dengan dua parti itu, memang kita tak boleh terima dan itu saja syarat yang kita telah tetapkan," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Menurut Nasrudin, PAS secara jelas telah membuat keputusan berhubung isu ini, berserta syarat kerjasama yang jelas.

"Cukuplah kami mempunyai sejarah dengan DAP dalam barisan alternatif dan Pakatan Rakyat," katanya.

Nasrudin berkata, menjelang pilihan raya umum akan datang, PAS kini memberi perhatian terhadap kedudukannya dalam Gagasan Sejahtera, yang melibatkan gabungan parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh yang berpengaruh.

Beliau turut memberi amaran kepada parti pemerintah dan blok kedua pembangkang supaya tidak memandang ringan akan kewujudan Gagasan Sejahtera.

"Kalaulah PAS ini hanya seekor nyamuk kecil, hanya kumpulan kecil bersama blok ketiga, saya yakin mereka tak pandang pun PAS, mereka tak peduli pun PAS.

"Tapi kenapa saban hari mereka datang, pujuk, nak berunding, nak bincang, ertinya mereka merasai keperluan kita," katanya.

Mengenai kenyataan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa tiada lagi keperluan untuk memujuk PAS menyertai parti itu, Nasrudin berkata ia tidak akan menjejaskan PAS.

"Beliau (Tun M) buat kenyataan contohnya,  kenapa PAS tak tentang Umno, PAS mesra Umno, siapa tak sokong Pakatan Harapan dia sokong Umno.

"Saya nak beritahu, PAS ini berlawan dengan Umno dalam pilihan raya sejak Tun M duduk dalam Umno lagi, dia jangan lupa sejarah tu.

"22 tahun lebih beliau jadi PM, siapa lawan beliau kalau bukan PAS. Dia baru keluar Umno nak tuduh PAS sekongkol dengan Umno, itu tak betul, satu kenyataan yang boleh saya sifatkan 'Melayu mudah lupa' itu berbalik kepada dirinya semula," katanya.

Ditanya mengenai hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat dalam kerajaan negeri Selangor, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Muktamar PAS yang dijadual berlangsung hujung April ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain