suria

Petrol Percuma Untuk Nelayan Miskin Di Kedah

YAN: Kira-kira 300 nelayan miskin di Kedah menerima bekalan minyak percuma berjumlah RM15,000 yang disumbangkan oleh Etiqa Takaful Berhad.

Syarikat insurans itu menyumbangkan bahan api itu sebagai sebahagian daripada sumbangan zakat menerusi program yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Islamic Aid Malaysia (IAM) yang melaksanakan misi kemanusiaan.

Kesemua nelayan tersebut, 180 daripada Kuala Sala dan selebihnya dari Tasik Pedu, masing-masing menerima bekalan petrol bernilai RM50 pada Jumaat.

Nelayan yang berasal dari Kuala Sala menerima bekalan di stesen minyak di Kampung Sungai Dedap manakala nelayan Tasik Pedu mendapat bantuan di sebuah stesen minyak di Pedu.

Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, Kedah merupakan satu daripada lima negeri yang dipilih untuk Program Bantuan Minyak Enjin Bot.

Jelas beliau, seramai 300 nelayan masing-masing dari Johor dan Pahang menerima bantuan yang sama pada bulan lalu manakala nelayan di Pulau Pinang akan menerima petrol percuma pada Sabtu dan di Kelantan pada 11 Mac.

"Penerima bantuan minyak percuma dikenalpasti dengan bantuan persatuan nelayan tempatan," katanya.

Etiqa Takaful, IAM, Kedah

Artikel Sebelum

Artikel Lain