suria

SPR Putuskan Tiada PRK Sungai Air Tawar

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Selangor bagi mengisi kekosongan susulan kematian penyandangnya berdasarkan peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh Tseow Suan bahawa kekosongan tersebut tidak menjejaskan kekuatan parti majoriti yang membentuk kerajaan negeri.

"Oleh itu, SPR memutuskan bahawa tiada PRK diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi itu berdasarkan peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor," katanya dalam sidang media di sini, Khamis.

Penyandang kerusi berkenaan Kamarol Zaki Abdul Malik, 59, meninggal dunia di kediamannya, di Kampung Sungai Air Tawar, pada 17 Januari lepas.

Pada pilihan raya umum lalu, Kamarol Zaki yang mewakili Barisan Nasional (BN) menewaskan calon PAS, Wahid Rais dengan majoriti 1,416 undi.

Yeoh dalam kenyataan semalam menyatakan selaras dengan peruntukan Perkara LXX (5) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang menyatakan kekosongan itu hanya perlu diisi sekiranya bilangan parti yang membentuk majoriti DUN Selangor terjejas.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi iaitu DAP (14), PKR (13), PAS (13), BN (12), Parti Amanah Negara (2) dan Bebas (2).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain