suria

Parti Diterajui Lajim Ukin Kerjasama Dengan Gabungan Pembangkang Sabah

Datuk Lajim Ukin
KOTA KINABALU: Parti Harapan Rakyat Sabah yang diterajui Datuk Lajim Ukin menjalinkan kerjasama dengan gabungan parti pembangkang tempatan lain, Gabungan Sabah (USA).

Lajim pada Ahad berkata, partinya akan menyertai USA yang kini terdiri daripada gabungan tiga parti sebagai sebuah parti komponen, bukannya sebagai pakatan pilihan raya yang longgar.

Ini menjadikan gabungan itu mempunyai empat parti yang berkerjasama. Tiga parti sebelum ini adalah Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Reformasi Negeri (Star).


Ini bermakna, satu-satunya parti pembangkang tempatan yang kini tidak bergabung dalam pakatan itu adalah Parti Warisan Sabah diketuai oleh bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Kami buat keputusan Parti Harapan Rakyat Sabah akan menyertai Gabungan Sabah bagi berdepan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang dalam usaha meningkatkan peluang mengalahkan parti pemerintah," kata Lajim pada satu perhimpunan di Kuala Penyu, Ahad.

Bekas ahli PKR itu juga berkata beliau yakin empat parti itu boleh mencapai kata sepakat dalam pembahagian kerusi di kalangan mereka.

"Malah kita juga boleh bekerjasama dengan Pakatan Harapan, dengan syarat mereka akan membuka jalan bagi parti-parti yang berpengkalan di Sabah mengetuai pertempuran di negeri ini," katanya, sambil menambah adalah lebih baik parti-parti tempatan dibiarkan menguasai negeri, bukan parti yang berpusat di Semenanjung.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain