suria

PAS Berhak Buat Himpunan RUU 355 - Nazri

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
KUALA LUMPUR: PAS mempunyai hak untuk mengadakan perhimpunan asalkan ia mengikut syarat yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.


Beliau berkata, akta itu membolehkan rakyat Malaysia menganjurkan perhimpunan jika ia memenuhi syarat-syarat yang tertakluk di bawahnya.

"Mereka perlu mematuhi syarat-syarat akta, seperti perhimpunan tersebut perlu diadakan di satu tempat, maksudnya ia tidak boleh 'bergerak' dan pihak penganjur telah mendapat kebenaran daripada pemilik tempat perhimpunan.

"Jika tidak, perhimpunan itu akan menjadi satu perhimpunan haram," katanya Ahad.

PAS mengumumkan akan mengadakan satu perhimpunan untuk memberi penerangan kepada orang ramai khususnya umat Islam mengenai pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali sebagai Akta 355. 

Himpunan RUU 355 itu dijadualkan akan diadakan pada 18 Februari ini.

Menjawab mengenai bantahan MCA terhadap perhimpunan yang dicadangkan itu, yang mana presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai  menyifatkannya sebagai 'memecah-belahkan', Nazri berkata, parti itu boleh membantah tetapi tidak boleh menghalang PAS daripada mengadakan perhimpunan.

"Jika MCA menentang (himpunan dan RUU), mereka boleh mengadakan satu lagi perhimpunan pada hari lain untuk menunjukkan bantahannya.

"Ini adalah demokrasi, jadi semua orang mempunyai hak, hak untuk menyokong dan hak untuk menentang," katanya.


Artikel Lain