suria

Berang Projek Asyik Tertangguh, LTA Buat Laporan Polis

PENGERUSI LTA, Zainudin Kadir (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kuah pada 28 Disember 2016. - BERNAMA

LANGKAWI: Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) hari ini membuat laporan polis berikutan kelewatan projek jalan raya di Pantai Cenang, yang terus menyulitkan keadaan di kawasan yang menjadi antara tarikan utama pulau itu.

Pengerusinya Zainudin Kadir berkata projek bernilai RM45 juta itu sepatutnya siap pada Jun tahun ini, dan menggesa pihak berkuasa menyiapkannya segera atau menamatkan kontrak kontraktor yang gagal menunaikan tugas berkenaan.

"Saya dimaklumkan selepas gagal menyiapkan projek itu pada waktu yang ditetapkan, kontraktor terbabit meminta lanjutan masa tiga bulan sehingga September tetapi masih gagal menyelesaikannya. 

"Kemudian kontraktor itu diberi masa sehingga 31 Dis tahun ini dan berdasarkan perkembangan semasa, saya meragui mereka mampu menyiapkannya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Kuah.

Menurutnya, kelewatan projek itu menimbulkan tanggapan negatif dalam kalangan pelancong dan persatuan khuatir ia akan menjejaskan usaha Langkawi menarik 4.5 juta pelancong pada tahun hadapan. - BERNAMA

LTA

Artikel Lain