suria

MB Johor Rakam Takziah Kepada Keluarga Mangsa Nahas Bas

Anggota Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit dari sebuah bas ekspress yang terbabas ke dalam cerun sedalam 20 kaki di Kilometer 137, Lebuhraya Utara Selatan arah utara awal pagi 24 Disember 2016. - BERNAMA

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas bas ekspres yang mengorbankan 14 nyawa di Km137.2, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berdekatam kawasan rehat dan rawat Pagoh, awal pagi Sabtu.

Khaled Nordin menerusi kenyataannya, turut meminta seluruh anggota keluarga yang terlibat agar terus bersabar dan tabah menerima dugaan tersebut.

"Kita bersama doakan agar roh mereka yang terkorban dirahmati Allah SWT jua.

"Semoga mereka yang tercedera dalam kejadian itu juga, kembali pulih seperti sedia kala," katanya.

Dalam kejadian terbabit, sebuah bas ekspres yang dinaiki 31 penumpang termasuk pemandu terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 20 kaki ketika menuju ke arah utara.

Antara yang berbunuh dalam kejadian tersebut termasuk pemandu bas dan seorang kanak-kanak.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat mengesa pihak yang berkaitan untuk mengenal pasti punca dan  tindakan drastik perlu diambil bagi mencegah kejadian sama daripada berulang.

"Sudah banyak kali kemalangan bas berlaku... pemandu bas yang melibatkan perjalanan jauh perlu menjalani pemeriksaan kesihatan enam bulan sekali.

"Pihak berkuasa juga perlu mewajibkan ada seorang pembantu pemandu bas yang berkelayakan di samping memastikan keadaan bas sentiasa diselenggara dan dalam keadaan baik," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Ayub berkata beliau yakin Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini, mampu menguruskan 16 mangsa yang cedera dalam kemalangan itu kerana mempunyai kepakaran dan peralatan mencukupi.

Khaled Nordin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain