suria

Ibu Bapa Tak Kisah Anak Naik Motosikal Tanpa Lesen - JKJR

Roslan Eusoff (tengah) membantu seorang penunggang memakai jaket keselamatan ketika program Advokasi Khas Sempena Sambutan Hari Natal dan Cuti Persekolahan 2016 di Plaza Tol Batu Tiga pada Jumaat.
 -fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Masih ramai ibu bapa yang tidak menyedari mengenai bahaya membenarkan anak mereka di bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen selain membiarkan anak kecil membonceng tanpa memakai topi keledar.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Roslan Eusoff berkata ini dapat dilihat dari segi bilanggan pengguna motosikal di bawah umur yang terkorban dalam kemalangan jalan raya yang meningkat saban tahun.

"Setiap tahun, bilangan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun terbunuh dalam kemalangan motosikal di seluruh negara terus meningkat walaupun operasi penguatkuasaan dijalankan agensi-agensi kerajaan.

"Contohnya tahun lepas, statistik pembonceng kanak-kanak bawah umur 16 tahun yang maut dalam kemalangan ialah 86 orang. Penunggang motosikal berumur antara 6 dan 10 tahun yang maut dalam kemalangan pula ialah 13 orang sementara yang berumur antara 11 dan 15 tahun pula seramai 249 orang," katanya kepada pemberita di Plaza Tol Batu Tiga di sini, Jumaat.

Beliau sebelum itu mengetuai kempen keselamatan sempena Sambutan Hari Krismas yang turut mendapat kerjasama agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan PLUS.

Roslan berkata kebanyakan ibu bapa tidak memandang serius perkara ini walaupun pihaknya sering menganjurkan program advokasi keselamatan jalan raya di sekolah dan ketika mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Ada ibu bapa yang berhujah dengan kita, daripada biar anak-anak mereka tidak sekolah lebih baik benarkan mereka tunggang motosikal ke sekolah. Ada juga bila kita buat kajian ada ibu bapa yang jawab kemalangan tidak akan berlaku pada mereka tetapi berlaku pada orang lain. Mereka berpendapat mereka kebal," katanya.

Sehubungan itu katanya, sudah sampai masanya pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan seperti mengambil tindakan tegas terhadap ibu bapa yang cuai sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian terhadap anak-anak.

Ketika ini katanya, terdapat peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mana-mana ibu bapa atau penjaga yang membenarkan kanak-kanak di bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen.

"Negara kita sudah mempunyai undang-undang dan saya percaya bahawa penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilakukan terhadap mereka lebih-lebih lagi kepada ibu bapa yang mendedahkan anak-anak mereka kepada risiko ketika menunggang motosikal," katanya.

Lesen Motosikal, JKJR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jumpa Mayat Dalam Tong

Artikel Lain