suria

Najib Ucap Takziah Kepada Keluarga Kamarudin Kachar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Kolonel Profesor Datuk Seri Dr Kamarudin Kachar, yang meninggal dunia pada Selasa.

"Takziah kepada keluarga Dr Kamarudin Kachar atas pemergian beliau.

Allahyarham tokoh banyak berjasa, semoga roh dicucuri rahmat Allah. Al-Fatihah," kata Perdana Menteri dalam catatan di laman Twitternya, pada Rabu.

Allahyarham Kamarudin, 83, meninggal dunia ketika sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 8.40 malam.

Beliau yang menghidap sakit jantung, dimasukkan ke pusat perubatan itu dua minggu lepas.

Allahyarham yang juga Presiden Pertubuhan Sedunia Melayu-Polynesia dan bekas Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), meninggalkan isteri Datin Seri Che Tom Osman, 80, dan empat anak.

Allahyarham pernah menyandang jawatan Dekan Pendidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Timbalan Naib Canselor dan Pemangku Naib Canselor UPM sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Biro Tata Negara.

Selepas itu beliau berkhidmat sebagai Pengarah Pendidikan Yayasan Pelajaran Mara, Dekan Pendidikan di Universiti Malaysia Sabah dan Naib Canselor Unisel. - BERNAMA

Najib Razak, Kamarudin Kachar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain