suria

Kanak-Kanak Mangsa Didera Dijaga JKM

Penganggur, Mohd Affandi Fauzi Ramlee, 34, (dua, kiri) dibawa anggota polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak berusia dua tahun di Kompleks Mahkamah Sungai Petani pada 6 Disember lalu. - BERNAMA

SUNGAI PETANI: Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dari Flat Paya Nahu dekat sini yang menjadi mangsa dera, akan ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula Rabu sehingga 25 Januari depan.

Perintah hak penjagaan sementara itu dikeluarkan Majistret Mohd Izham Ali di Mahkamah Majistret di sini mengikut Seksyen 19 Akta Kanak-kanak 2001.

Mangsa yang sebelum ini menerima rawatan di wad kanak-kanak Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini sejak 24 November lalu, dibenarkan keluar hospital kira-kira pukul 9 pagi dan tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 9.50 pagi dengan diringi pegawai JKM.

Kira-kira pukul 10.15 pagi, nenek mangsa berserta anggota keluarga terdekat turut tiba di mahkamah sebelum prosiding dilakukan di dalam kamar pada pukul 10.40 pagi dan berakhir kira-kira 10 minit kemudian.

Sementara itu, Pengarah JKM Kedah Md Noor Chik berkata kanak-kanak prempuan itu akan ditempatkan di Taman Sinar Harapan, Jitra, untuk pemantauan dan pemerhatian lanjut.

"JKM mempunyai prosedur yang perlu diikuti, yang mana kita akan memantau semua aspek termasuklah keselamatan, kesihatan emosi dan fizikal mangsa dari semasa ke semasa.

"Buat masa ini, mangsa akan ditempatkan di bawah jagaan JKM sehingga dia betul-betul sihat dan sekiranya ada waris mangsa yang menuntut hak penjagaan selepas tempoh diberi kepada JKM tamat, kita akan rujuk kepada mahkamah semula," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Noor berkata nenek mangsa sebelum ini ada menyatakan hasrat untuk menjaga cucunya itu, bagaimanapun JKM perlu meneliti beberapa aspek sebelum memutuskannya.

"Kita akan melihat kesediaan dan kemampuan nenek mangsa untuk menjaga mangsa. Jika ada permohonan daripada nenek mangsa, kita akan dapatkan perintah baharu daripada mahkamah," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.25 pagi, 24 November lalu, polis menjumpai mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dibungkus dengan toto dan diletakkan di dalam tong ikan.

Kakaknya yang berusia empat tahun dikejarkan ke HSAH akibat cedera parah dipercayai akibat didera.

Flat Paya Nahu, JKM

Artikel Lain