suria

Penduduk, Peniaga Siap Sedia Hadapi Gangguan Bekalan Air Esok

KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air yang dilaksanakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bermula Isnin (19 Disember) sehingga 24 Disember akan menimbulkan kesulitan besar kepada penduduk di Selangor, lebih-lebih lagi perayaan Krismas akan disambut tidak lama lagi.

Bagi penduduk Selangor, gangguan bekalan air adalah perkara biasa setiap tahun dan bagi kebanyakan penduduk, gangguan bekalan ini tidak mengejutkan.

Gangguan bekalan terbaharu ini ialah disebabkan kerja-kerja penyenggaraan Pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bukit Badong, Hulu Selangor.

Bagaimanapun, Syabas berkata ia akan memastikan bekalan air diagihkan dengan lebih efisien di kawasan-kawasan terlibat di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur selepas loji-loji terlibat beroperasi semula.

Seorang penduduk, Shahful Shaffiq, 31, dari Gombak berkata beliau hari ini sibuk mengisi air ke dalam bekas air bagi menghadapi gangguan bekalan esok.

Ketika ditemui Bernama, beliau yang bertugas dengan portal berita online berkata gangguan bekalan air menimbukan kesulitan besar bagi memenuhi keperluan hariannya seperti mandi, membasuh dan mamasak.

"Saya mungkin dapat mandi dengan cukup sebelum keluar rumah untuk bekerja tetapi saya tidak dapat memasak dan membasuh sehingga bekalan kembali pulih.

"Saya juga telah pergi ke kedai terdekat dan membeli bekas air untuk mengisi air dan diharap cukup untuk keperluan saya," katanya.

Sementara itu, Noel Chandran dari Selayang Baru, berkata kemungkinan gangguan bekalan air semasa sambutan di ambang Krismas pasti menimbulkan kesulitan kepada beliau dan ahli keluarganya.

"Ini kali pertama, kita menghadapi gangguan bekalan air semasa sambutan Krismas. Saya tidak dapat membayangkan keadaan kerana saya telah menjemput keluarga dan rakan-rakan ke rumah saya," kata warga emas berusia 66 tahun itu.

Chandran berharap Syabas akan menghantar lebih lebih lori tangki ke kawasan-kawasan terlibat semasa musim perayaan kerana penghuni memerlukan bekalan air yang mencukupi untuk memenuhi keperluan tetamu.

Sebaliknya, pemilik restoran sudah bersiap sedia bagi menghadapi gangguan bekalan air bermula esok.

Pengurus restoran Rodeo Steakhaus, Jai Raido, 23 berkata setiap tahun apabila mengalami gangguan bekalan air, pihak restoran menyediakan tangki bagi memastikan perniagaan berjalan lancar.

"Setiap tahun, kami menyediakan tangki air untuk tujuan memasak dan membasuh, kami biasanya mengisi dua tangki besar yang diletakkan di atas restoran dan ia boleh bertahan selama dua hari," katanya.

Ketika ditanya sama ada perniagaannya terjejas, beliau berkata perniagaan berjalan seperti biasa setiap hari, tidak kira sama ada gangguan bekalan air berlaku atau tidak, pelanggan terus datang," katanya.

Artikel Lain