suria

Polis Buru Lima Lelaki Warga Singapura Pukul Jurutera

Jurutera tempatan yang bekerja di Singapura itu mengalami kecederaan di anggota badan termasuk kepala dan dahi akibat dipukul dengan sebatang kayu besbol.

ISKANDAR PUTERI: Polis sedang memburu lima lelaki yang dipercayai warga Singapura kerana disyaki terlibat dalam insiden memukul seorang jurutera tempatan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tanjung Kupang arah utara, di sini, awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Superitendan Noor Hashim Mohamad berkata mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an itu didapati menggunakan kenderaan jenis Honda Civic dan BMW bernombor pendaftaran Singapura sewaktu kejadian.

Mangsa pula merupakan seorang warga tempatan berusia 40 tahun dan bekerja sebagai jurutera di Singapura, katanya.

"Polis sedang menyiasat motif sebenar kejadian dan beberapa saksi telah diambil keterangan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Namun, kita tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kerana tiada CCTV di lokasi kejadian," katanya pada sidang media selepas Program Pencegahan Jenayah di pasar raya Aeon Bukit Indah, di sini Sabtu.

Noor Hashim berkata dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, mangsa cedera di kepala dan dahi akibat dipukul dengan kayu besbol.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama isteri sedang memandu keluar dari negara jiran dan menuju ke bandar raya Johor Bahru, katanya.

Bagaimanapun, semasa membayar tol di Plaza Tol Tanjung Kupang di Gelang Patah di sini, sebuah kenderaan jenis BMW yang dipandu suspek secara tiba-tiba mengarahkannya berhenti tetapi tidak diendahkan mangsa.

"Mangsa turut ditunjukkan dengan sebatang kayu seakan pemukul bola besbol namun dia tetap meneruskan perjalanan sehinggalah sampai di sebuah stesen minyak di kawasan rehat dan rawat berkenaan.

"Di situ, dia dihampiri lima lelaki dan dipukul. Isteri mangsa yang menyaksikan kejadian, menjerit meminta pertolongan orang ramai  menyebabkan kesemua suspek melarikan diri," katanya. - Bernama

jurutera, kes pukul

Artikel Sebelum

Artikel Lain