suria

Bukit Bendera Perlu Sambungan Kereta Kabel - Nazri

Nazri meninjau pemandangan Pulau Pinang dari jambatan kaca Rainbow Skywalk di tingkat 68 Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) selepas majlis perasmian The Top pada Ahad. -fotoBERNAMA

GEORGE TOWN: Bukit Bendera amat memerlukan sambungan kereta kabel dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah memohon sejumlah RM325 juta bagi pembinaannya.

"Kami telah memohon sejak dua tahun lalu dan akan terus meletakkannya dalam cadangan belanjawan sehingga kerajaan mempunyai wang yang cukup untuk itu," kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata, kereta kabel itu bukan sahaja menjadi tarikan pelancong tetapi juga menjadi salah satu kaedah pengangkutan.

"Ia bermula dari Taman Botani Pulau Pinang. Laluan pertama naik ke Bukit Bendera dan dari sana penumpang boleh mengambil satu lagi kereta kabel ke Teluk Bahang.

"Ia menjadi lebih cepat daripada memandu," kata Nazri sambil menambah bahawa stesen kereta kabel yang dirancag di Teluk Bahang akan dibina berhampiran  Taman Tema Escape.

Nazri berkata jumlah pengunjung ke Bukit Bendera telah meningkat daripada 200,000 pada tahun 2008 kepada 1.6 juta tahun ini.

"Kita tahu betapa kereta kabel ini amat diperlukan.

"Ia hanya bergantung kepada pendapatan kerajaan. Lambat laun, harga minyak akan naik dan kita akan mempunyai bajet untuk itu," katanya.

Nazri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan THE TOP@Komtar di sini, Ahad.

Artikel Lain