suria

Empat Individu Cemerlang Terima Anugerah Merdeka 2016

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Melayu yang terkenal, Tan Sri Lakshmanan Krishnan ialah antara empat individu cemerlang yang menerima Anugerah Merdeka 2016 yang berprestij pada Khamis malam.

Beliau dipilih dalam kategori Pendidikan dan Komuniti atas sumbangan cemerlangnya meletakkan asas untuk industri perfileman moden di negara ini.

Ia juga bagi menghargai peranan awal beliau dalam membangunkan bakat insan seni termasuk ikon filem-filem Melayu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Tiga orang lagi penerima ialah Pro Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor untuk kategori Alam Sekitar dan Prof Ulung,  Prof Datuk Dr Looi Lai Meng untuk kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi.

Sementara itu, Profesor di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr Wan Ramli Wan Daud dipilih bagi  kategori Pencapaian Cemerlang Akademik.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selaku Penaung Diraja Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, berkenan menyampaikan trofi Anugerah Merdeka, karya seni Merdeka oleh pelukis tempatan Latiff Mohidin dan wang tunai RM500,000 kepada setiap penerima pada upacara itu yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas, di sini.

Yang turut berangkat ialah Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. Turut hadir ialah pengerusi Petronas Tan Sri Sidek Hassan, serta presiden dan ketua eksekutif kumpulan Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Lebih 700 tetamu menghadiri upacara penyampaian anugerah berprestij itu.

Pencalonan dan pemilihan yang bermula pada Januari setiap tahun tertumpu kepada pencapaian.

Acara tahun ini menandakan selesainya pencalonan dan proses pemilihan bagi Anugerah Merdeka, yang dijalankan di Malaysia dan juga antarabangsa, untuk mengenal pasti rakyat Malaysia dan bukan warga Malaysia, yang cemerlang yang memberi sumbangan kepada negara.

Anugerah Merdeka diperkenalkan pada 27 Ogos 2007 untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada individu cemerlang dan organisasi yang hasil kerja dan pencapaian bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan negara tetapi juga memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia.


--------

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain