suria

Pengalaman Umrah Suntik Semangat Tunai Haji Usia Muda

ASSALAMUALAIKUM. Cuti sekolah penggal ketiga bermula. Sebagaimana lazim, sebahagian besar akan mengisi percutian dengan melancong ke luar negara. Tiket penerbangan yang ditempah sejak setahun lalu sudah tentu lama menunggu.

Untuk ke luar negara tidak sulit seperti dulu berikutan pameran pelancongan yang sering diadakan dan tawaran tiket penerbangan yang murah dan kadangkala di luar jangkaan sehingga menyebabkan ramai merebut peluang untuk menghabiskan percutian di negara orang.

Sebut saja Indonesia, Australia, Ho Chi Minh, Bangkok, Korea dan China, ramai yang mengembara ke negara terbabit pada usia muda. Bagus mengembara melihat negara lain. Tidak salah semua itu. 

Jauh berjalan luas pemandangan dan dapatlah kita tingkatkan lagi pengetahuan serta menambah kenalan. Ketika ini, ramai anak-anak muda dan pasangan yang baru mendirikan rumah tangga dan berusia bawah 40-an mampu mengembara jauh, hatta ke Eropah sekalipun kerana bijak mendisiplinkan diri untuk menabung sejak usia muda.

Alhamdulillah dan tahniah bagi yang memilih Makkah dan Madinah untuk menunaikan ibadat umrah serta ziarah ketika musim cuti sekolah kali ini. Kadangkala ibadat umrah dapat menyuntik semangat kepada kita untuk mengerjakan ibadat haji atau dengan lain perkataan, menyegerakan rukun Islam kelima.

Ini diakui oleh segelintir pasangan suami isteri yang saya temui ketika menunaikan ibadat haji baru-baru ini. Saya kagum dengan langkah dan usaha segelintir pasangan suami isteri yang menjadi tetamu Allah ketika usia muda serta sanggup meninggalkan anak-anak yang masih kecil. 

Saya terpanggil untuk menemuramah mereka dan ingin mengetahui apakah yang mendorong mereka untuk mengerjakan ibadat haji ketika usia muda. Tentu sekali, mereka yang masih muda boleh meneladani langkah serta usaha mereka dalam menyempurnakan rukun Islam kelima.


Pengalaman menunaikan umrah empat tahun lalu dan melihat perjalanan umrah yang menuntut jemaah mempunyai kekuatan fizikal dan mental menyebabkan pasangan suami isteri, Zalhatun Nazira Mohd Nordin dan suami Ahmad Faizal Ramli, mengambil keputusan untuk menunaikan haji sebelum usia mencecah 40 tahun.

Pasangan itu mempunyai tiga cahaya mata, iaitu Husna Farihah, 12, Hurien Farisah, 10 dan Hulaif Faisal, 7 tahun. Ketiga-tiga anak mereka dipelihara oleh ibu bapa dan adik ipar sepeninggalan mereka ke Tanah Suci baru-baru ini.

Pasangan itu tekad untuk menunaikan haji dan mengetepikan keinginan untuk melancong ke luar negara sebagaimana sebahagian besar rakan-rakan mereka. 

Kedua-duanya yang berusia 39 tahun berasa bersalah jika duit yang dihimpun digunakan untuk melancong dan bukan menyempurnakan rukun Islam.

“Perasaan bersalah ada dalam diri saya jika tidak menunaikan haji kerana ia rukun. Jadi saya nasihatkan isteri agar kita perlu tunai haji. Dah selesai haji, hendak ke mana-mana pun boleh tanpa rasa bersalah,” ujar Ahmad Faizal, jurutera di Petronas.

“Sepatutnya kami pergi haji pada 2049 tetapi Alhamdulillah pakej swasta yang ditawarkan membuka peluang kami untuk menunaikan haji pada tahun ini,” kata Zalhatun Nazira, pengusaha Little Caliph di Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Pasangan itu terasa bertuah dapat menjadi tetamu Allah pada usia muda dan menyifatkan  pengalaman di Muzdalifah paling berharga dan tidak dapat dilupakan.

“Pengalaman ini umpama sebuah ‘percutian’ yang tidak dapat saya lupakan kerana sangat hebat dan penuh bermakna sebab hampir setiap pagi suami membawa saya bertawaf sunat dan kami sama-sama mendaki Gua Hira,” kata Zalhatun Nazira gembira.

Ahmad Faizal berpendapat ibadat haji perlu dilaksanakan ketika usia muda kerana ia menuntut tahap kesihatan yang baik dan kekuatan tenaga fizikal.


Norleen Roslee, 33, dari Kota Kinabalu, Sabah; berazam menunaikan haji sejak berusia 25 tahun dan sering berdoa agar hasrat hatinya dimakbulkan oleh Allah SWT.

“Saya selalu berdoa agar diberi kesihatan yang baik untuk beribadat dan saya sasarkan usia 35 tahun dapat menyempurnakan ibadat haji tapi Alhamdulillah pada umur 33 tahun, impian saya terlaksana,” ujar beliau yang datang bersama-sama pasangannya, Redza Rosli, 36.

“Bajet saya hanya RM25,000 seorang untuk pergi haji tetapi saya dimaklumkan kos pakej swasta yang ditawarkan ialah RM35,000. Bajet lari ketika itu dan saya dan suami perlu berusaha memenuhkan tabungan dalam masa beberapa bulan saja untuk memastikan kami dapat menyempurnakan rukun Islam kelima,” ujar Norleen.

Seperti pasangan Ahmad Faizal dan Zalhatun Nazira, Norleen dan suami juga pernah menunaikan umrah pada 2012 dan faktor itu juga menyebabkan mereka semakin berkobar-kobar untuk menghimpun wang bagi menunaikan haji.

“Tunai umrah pun penat dan terasa kepayahannya, apatah lagi haji. Saya lihat orang tua pun jalan jauh dan tidak larat dan dari situ terdetik di hati kewajaran menunaikan haji pada usia muda,” katanya yang berbincang secara serius dengan suaminya, Redza, pada awal tahun ini.

Redza yang berasal dari Sungai Petani, Kedah berpendapat ibadat haji tidak sukar seperti diperkatakan dan wajar disempurnakan ketika usia muda untuk mengelakkan segala kepayahan jika ditunaikan jika sudah berumur.

“Untuk beribadat dan menyempurnakan segala rukun dan wajib haji, kita perlu ada kekuatan dan tenaga. Justeru, eloklah pergi ketika muda dan sihat. Jika sudah berusia, mungkin kita banyak mengeluh dan mengadu sakit tetapi jika pergi ketika muda, insha Allah masalah itu dapat diatasi,” katanya.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Fir Wafira, 6; Muhammad; 4 dan Hud, 3 tahun. Dua anak pasangan itu diletakkan di rumah pengasuh manakala seorang lagi di bawah jagaan ibu angkat sepanjang ketiadaan mereka selama 38 hari menunaikan ibadat haji.

Pasangan itu berhasrat mengulangi ibadat haji jika ada rezeki pada masa akan datang kerana begitu menghargai pengalaman dan merindui detik-detik manis ketika berwukuf di Arafah dan bermabit di Muzdalifah.


Pasangan Suhaili Sunar dan Ainuddin Ali, kedua-duanya berusia 33 tahun gemar mengembara melihat keindahan bumi ciptaan Allah SWT. Justeru, banyak negara yang sudah dikunjungi seperti Dubai, Turki, London, Australia, Itali, Amerika Syarikat, Jordan dan Perancis.

Bagaimanapun, dalam keseronokan mengembara dan memenuhi tugasan, pasangan itu tidak lupa untuk mendaftar haji kira-kira enam tahun lalu.

“Kali pertama saya ke Makkah untuk menunaikan umrah ketika berusia 13 tahun bersama-sama ibu bapa dan kali kedua pula pada 2012 bersama-sama suami dan dua anak ketika itu,” kata Suhaili.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Norhanah Aleesya, 6, Muhammad Muaz, 5 dan Muhammad Muslim, 3 tahun.

Pengalaman menunaikan ibadat umrah sedikit sebanyak menyebabkan mereka turut berazam untuk menunaikan haji pada usia muda. Justeru, tabungan untuk mengerjakan ibadat haji dipandang serius pada setiap bulan untuk memastikan impian dapat direalisasikan.

“Bagaimanapun, bajet kami lari kerana peruntukan untuk haji RM25,000 seorang sedangkan harga pakej yang hendak kami ikuti ialah RM35,000 seorang. Jadi, saya ambil keputusan untuk menjual kereta bagi mencukupkan tabungan ketika itu,” ujar Ainuddin.

Menurut Ainuddin, sebelum melangkah ke Tanah Suci, macam-macam yang perlu diingat dan ketepikan demi kepentingan anak-anak.

“Kita perlu fikir wang saku sepanjang di Tanah Suci, duit anak-anak yang perlu ditinggalkan dan segala bayaran kad kredit yang perlu dilunaskan setiap bulan,” ujar Ainuddin lagi.

Mereka menyarankan agar ibadat haji wajar disegerakan, terutama ketika usia muda kerana tahap kesihatan dapat menjamin kelancaran dan perjalanan haji.

InsyAllah bersambung minggu depan.

Makkah, Madinah, haji

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain