suria

Projek Bina Kompleks Mahkamah Rendah Syariah Maran, Bera Lewat - Audit

KUANTAN: Kerja-kerja pembinaan Kompleks Mahkamah Rendah Syariah Maran (KMRSM) dan Bera (KMRSB) didapati lewat lebih setahun daripada tarikh siap asal.

Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 mendapati pelaksanaan projek KMRSM lewat selama 491 hari manakala projek KMRSB lewat 550 hari daripada tarikh siap asal.

Mengikut kontrak, projek pembinaan KMRSM dan KMRSB perlu disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan daripada milik tapak iaitu masing-masing 76 dan 70 minggu.

Semakan Audit mendapati kedua-dua projek itu diberi empat kali lanjutan masa dan sepatutnya siap pada 6 Februari lepas bagi projek KMRSM dan 7 Mac 2016 bagi projek KMRSB.

Bagaimanapun, kontraktor berkenaan tidak dapat menyiapkan projek pada tarikh tersebut dan Perakuan Tidak Siap Kerja telah dikeluarkan.

Menurut laporan itu projek KMRSM hanya dapat disiapkan pada 20 Jun 2016 setelah mendapat empat lanjutan masa selama 356 hari manakala projek KMRSB dapat disiapkan pada 23 Jun 2016 setelah mendapat kelulusan empat lanjutan masa selama 442 hari.

Selain lewat daripada tarikh siap projek, beberapa kelemahan lain ditemui iaitu reka bentuk pembinaan kurang sesuai dan kerja tidak mengikut spesifikasi serta beberapa aspek pentadbiran kontrak kurang memuaskan.

Semakan Audit mendapati faktor utama yang menyumbang kepada kelewatan penyiapan kerja disebabkan oleh kelemahan semasa perancangan projek dan perubahan reka bentuk bangunan termasuk bilik kebal dan lokap semasa proses pembangunan dilakukan.

Laporan itu turut menyatakan bahawa kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan Kompleks Pelancongan Tasik Bera gagal menyiapkan kerja mengikut tempoh masa yang ditetapkan walaupun telah diberikan lanjutan masa selama 294 hari.

Kontraktor berkenaan sebelum ini dilantik secara tender bagi penyenggaraan lima blok di kompleks berkenaan iaitu Sebarau, Belida, Kelisa, Baung dan Toman serta melaksanakan kerja-kerja pemasangan 'tube well'.

Kerja-kerja penyelenggaraan itu bermula pada 7 Januari hingga 12 Mei 2015 untuk tempoh 18 minggu dengan kos berjumlah RM0.88 juta namun, setelah perubahan kerja, harga baru kontrak menurun kepada RM0.87 juta.

Semakan audit mendapati kontraktor tidak dapat menyiapkan kerja walaupun lanjutan masa diluluskan sebanyak tiga kali melibatkan 294 hari iaitu pada 12 Mei hingga 24 Julai 2015, 24 Julai hingga 29 Disember 2015 dan 30 Disember hingga 29 Februari 2016.

Laporan itu menyatakan antara alasan yang dikemukakan semasa permohonan lanjutan masa adalah kerana kelewatan kontraktor mendapatkan bekalan bahan binaan dan kerja elektrik tidak dapat dilakukan terhadap kayu lantai yang belum dipasang.

Sehingga Februari lepas, kemajuan kerja-kerja penyenggaraan hanya 61 peratus siap menyebabkan Majlis Daerah Bera (MDB) mengeluarkan Perakuan Tidak Siap kepada kontraktor pada 1 Mac lepas.

MDB juga mengenakan Ganti Rugi Yang Ditentukan Dan Ditetapkan (LAD) sebanyak RM250 sehari dan sehingga 15 Julai 2016, LAD yang dikenakan berjumlah RM34,250 iaitu selama 137 hari.

Maklum balas MDB bertarikh 12 Ogos lepas menyatakan status terkini projek masih dalam tempoh LAD berjumlah RM41,000 dan sehingga 11 Ogos 2016, kemajuan fizikal di tapak adalah 95 peratus siap serta sesi pengujian dan pentauliahan dijadual pada 22 Ogos 2016. - BERNAMA

KMRSM, KMRSB, Laporan Audit

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain