suria

Tun Siti, Wan Azizah Bersemuka Semula Selepas 18 Tahun

Ihsan Gambar Twitter oleh @BebasAnwarMY

PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menerima kunjungan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali untuk makan tengah hari bersama di rumah beliau di Segambut pada Jumaat.

Dr Siti Hasmah yang merupakan ister bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ditemani bekas timbalan ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan semasa pertemuan itu yang berlangsung selama 45 minit.

Pertemuan itu antara kedua-dua wanita itu merupakan yang pertama bagi tempoh 18 tahun.

Menurut kenyataan Khairuddin, Dr Wan Azizah yang merupakan isteri pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sangat mesra terhadap tetamunya dan menyambut Dr Siti Hasmah dengan pelukan erat dan tangisan.

"Banyak kenangan manis dan cerita lama yang dibualkan oleh Dr Wan Azizah dan Tun Siti ketika saya meluangkan sedikit masa bersama mereka," katanya.

Khairuddin berkata, Dr Wan Azizah turut berkongsi cerita lucu semasa beliau "dipaksa" untuk menjadi pasangan Tun Siti ketika bermain badminton.

"Tun Siti juga ketawa apabila mengimbas kembali bagaimana beliau terserempak Dr Wan Azizah ketika di lapangan terbang dan terus mengambil cincin di jari Dr Wan Azizah dan memakainya sendiri.

"Tun Siti berkata, beliau sangat meminati cincin Dr Wan Azizah itu," kata Khairuddin.

Selepas pertemuan itu, kedua-dua wanita tersebut saling bertukar cenderamata.

"Tun Siti memberi buku penulisannya manakala Dr Wan Azizah memberikan produk susu kambing," katanya.


Tun Siti Hasmah, Wan Azizah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Salah Tangkap Pelancong Syria

Artikel Lain