suria

Malaysiakini Buat Laporan Polis Terhadap Jamal

PETALING JAYA: Portal berita Malaysiakini membuat laporan polis terhadap Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos yang mengerahkan anggotanya berkumpul di hadapan pejabat portal berita itu pada Sabtu.

Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan mengesahkan portal berita itu sudah membuat laporan polis di ibu pejabat polis Petaling Jaya pada Jumaat.

"Kerana mereka (Baju Merah) adalah ancaman, kami mahu memastikan polis menyediakan kawalan keselamatan esok (Sabtu)," katanya.

Pada Khamis, Jamal telah mengetuai sekumpulan penyokong ke pejabat Malaysiakini di Kuala Lumpur kira-kira pukul 2.40 petang.

Beliau kemudiannya bertemu dengan Gan, editor RK Anand dan Jimadie Shah Othman dan dibenarkan masuk ke pejabat tersebut bersama 10 ahli kumpulan itu.

Semasa berada di dalam pejabat itu, Jamal mempertikaikan dana pembiayaan portal tersebut dan menuntut pihak pengurusan memberikan jawapan sebelum tengah hari 5 November ini.

"Jika tidak, kami akan mengadakan demonstrasi besar-besaran di sini dan memastikan sebahagian daripada bangunan ini akan runtuh," kata Jamal.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu Malaysikini pada Khamis untuk membuat laporan polis berhubung kenyataan Jamal.



Malaysiakini, Jamal Yunos, Baju Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain