suria

Wanita Hilang Selepas Terjatuh Ke Dalam Longkang

Gambar hiasan.

JOHOR BARU: Seorang wanita hilang setelah terjatuh ke dalam longkang apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan berhampiran Flat Seri Stulang, di sini pagi Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Ibrahim Omar berkata laporan mengenai kehilangan Wee Chui Lee, 40, bagaimanapun hanya diterima pihaknya pada pukul 4.11 pagi Jumaat.

Seramai 14 pegawai dan anggota telah dikerah ke lokasi kejadian bagi mencari mangsa.

Hasil siasatan di lokasi kejadian, kami menjumpai barang milik mangsa yang berupa topi keledar dan kad pengenalan yang kita percaya terjatuh akibat kemalangan.

Operasi mencari dan menyelamat telah dilakukan di sepanjang longkang di lokasi kejadian sehingga ke muara Sungai Tebrau.

"Namun tiada penemuan dicatat dan operasi terpaksa ditangguhkan awal berikutan keadaan air sungai yang surut, menyebabkan bot bomba tidak dapat melalui kawasan Sungai Tebrau," katanya ketika dihubungi Jumaat.

Menurut Ibrahim, pencarian itu akan disambung pagi Sabtu dan diperluaskan lagi sehingga ke kawasan Jambatan Permas.

Operasi pada Jumaat turut melibatkan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), katanya. - BERNAMA

jatuh, longkang

Artikel Sebelum

Hukum Jamal Bukan Umno

Artikel Lain