suria

Bersih, Baju Merah Disaran Berhimpun Di Lokasi Lain - KPN

Penganjur perhimpunan Bersih 5.0 dan kumpulan Baju Merah tidak dibenar mengadakan sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka pada 19 November ini.

PETALING JAYA: Penganjur perhimpunan Bersih 5.0 dan kumpulan Baju Merah tidak dibenar mengadakan sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka pada 19 November ini, tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Justeru, kedua-dua kumpulan disaran mencari lokasi lain jika masih mahu mengadakan perhimpunan.

"Kedua-dua perhimpunan ini (Bersih dan Baju Merah) tidak dibenar diadakan di Dataran Merdeka setelah pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan mereka untuk berhimpun di situ.

"Saya menyarankan mereka cari tempat lain yang sesuai dan dibenarkan pemiliknya untuk mereka berhimpun. Kalau tidak di Kuala Lumpur, pergi (berhimpun) di tempat lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program 'Mengatur Langkah Menangani Jenayah Berat' anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, Khamis.  

Khalid berkata sekiranya kedua-dua kumpulan ini masih berdegil, pihaknya akan mengambil tindakan tegas.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata perhimpunan berkenaan dikhuatiri akan mendatangkan kemudaratan dan menjejaskan keamanan awam sekiranya penganjur tetap berdegil untuk meneruskan agenda mereka.

"Sekiranya pihak penganjur tetap ingin mengadakan perhimpunan itu, ia harus diadakan di lokasi yang tertutup dan mengikut nasihat polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Khamis.

Zainol berkata pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah hadir kira-kira 11 pagi tadi di IPD Dang Wangi bagi meminta nasihat daripada pihak polis berhubung perhimpunan 19 November itu.

Dalam perkembangan yang sama, Zainol berkata polis melarang sesiapa sahaja menggunakan dron pada mana-mana perhimpunan.

"Mereka yang menggunakan dron ketika perhimpunan berlangsung boleh diambil tindakan di bawah Akta Penerbangan Awam 1969," katanya. -Bernama

Perhimpunan Baju Merah, Kuning

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain