Jangan Terlalu Bangga Rizab Banyak, Tapi Gagal Selesai Isu Air - Adun BN - Semasa | mStar

Jangan Terlalu Bangga Rizab Banyak, Tapi Gagal Selesai Isu Air - Adun BN

Datuk Johan Abdul Aziz
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor dibidas kerana terlalu berbangga dengan rizab negeri berjumlah RM3.62 bilion dan lebihan bajet tahun lepas sedangkan rakyat negeri ini menderita akibat isu air yang masih gagal diselesaikan sehingga kini.

Datuk Johan Abdul Aziz (BN-Semenyih) berkata tahun ini merupakan tahun sengsara bagi rakyat khususnya di daerah Hulu Langat berikutan sehingga 31 Oktober lepas, lapan kali Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih ditutup akibat pencemaran bau.

"Bukan sahaja Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari BN, malah, berbelas soalan dikemukakan oleh Adun lain dalam sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) kali ini membuktikan kebimbangan semua pihak mengenai kegagalan kerajaan negeri menguruskan industri air.

"Kalau gagal uruskan air mengaku sahaja, tidak perlu timbulkan isu sabotaj atau perbuatan terancang sebagai punca bekalan air terputus," katanya ketika membahaskan Bajet Selangor 2017 di sidang DUN di sini, Rabu.

Lebih mengejutkan, Johan berkata, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyalahkan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana lewat hadir ke lokasi pencemaran sedangkan agensi yang diwujudkan khas untuk menguruskan air di Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) boleh terus bertindak tanpa perlu menunggu JAS.

Ini menunjukkan Mohamed Azmin sendiri tidak memahami Prosedur Operasi Standard (SOP) kerja LUAS dan cuba menyalahkan JAS berikutan jabatan itu merupakan satu-satunya agensi di bawah kerajaan persekutuan yang terlibat dengan isu pencemaran, katanya.

Johan turut mendakwa operasi pemutihan kilang haram di Selangor gagal apabila masih banyak premis yang beroperasi tanpa lesen sekali gus meningkatkan risiko pencemaran sungai.

"Menurut rekod dikeluarkan oleh JAS terdapat lapan kawasan perindustrian yang boleh menyumbang kepada pencemaran di Sungai Semenyih iaitu tujuh di Selangor dan satu di Negeri Sembilan.

"Saya minta Exco bertanggungjawab (Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor Elizabeth Wong) senaraikan kilang-kilang yang wujud berhampiran Sungai Semenyih serta status dan latar belakangnya," katanya.

Sidang dewan bersambung esok.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Almy Nadia lahir anak perempuan ketiga

"Kami sudah beri yang terbaik" - Aidil

Peng Soon, Liu Ying tinggalkan BAM