suria

Malaysia Airlines Lantik Kapten Izham COO Baharu

Kapten Izham Ismail.

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd (MAB) melantik Kapten Izham Ismail sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) baharunya, berkuat kuasa pada Selasa.

Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MASwings untuk tempoh sekejap dan kini digantikan oleh Aminuddin Zakaria.

CEO Kumpulan Peter Bellew berkata Kapten Izham tidak asing dengan jawatan itu kerana beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Operasi dari 2012 hingga 2015.

"Dengan pengalaman hampir 36 tahun dalam industri penerbangan dan baru sahaja menamatkan Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, saya yakin beliau akan menerajui Bahagian Operasi dan Kejuruteraan ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.

"Sebagai tenaga kerja tempatan kami, saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan beliau dalam membawakan kecemerlangan operasi kepada seluruh Kumpulan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kapten Izham memulakan kerjaya beliau dengan Malaysia Airlines sebagai juruterbang terlatih dan mengendalikan pelbagai pesawat daripada Fokker 27, Airbus 330 hinggalah kepada Boeing 747.

Bellew juga mengalu-alukan Aminuddin yang menyandang jawatan baharunya di MASwings.

"Aminuddin memiliki pengalaman profesional lebih 27 tahun dalam bidang kejuruteraan. Saya yakin beliau akan membangunkan pelan menyeluruh dan mampan bagi menambah baik operasi, prestasi kewangan dan pengalaman perkhidmatan pelanggan MASwings.

"Kumpulan terus komited untuk mengembangkan lagi syarikat penerbangan komuniti ini untuk menyediakan khidmat penerbangan luar bandar di Sabah dan Sarawak," katanya.

Aminuddin memiliki ijazah dalam Kejuruteraan Mekanikal dan Aeronautikal daripada Universiti Teknologi Malaysia dan memulakan kerjaya beliau di Malaysia Airlines sebagai Pelatih, Penyenggaraan Pesawat.

Dalam tempoh 12 tahun kemudiannya beliau memegang pelbagai jawatan sebelum berpindah ke GE Aviation dengan jawatan terakhirnya adalah sebagai Pengarah Jualan Serantau bagi Asia Pasifik.

Beliau menyertai semula Malaysia Airlines pada 2012 sebagai Naib Presiden Kanan Airline Engineering dan di lantik sebagai Ketua, Operasi Teknikal pada  September 2015.

MASwings menyediakan perkhidmatan di rangkaian 24 destinasi dan mengendalikan 10 pesawat ATR 72-500 dengan 64 tempat duduk menghubungkan ke lapangan terbang Kota Kinabalu, Kuching, dan Miri ke bandar-bandar utama di  Sabah dan Sarawak. - BERNAMA

Artikel Lain