suria

Seorang Lelaki Maut Dalam Letupan Di Stesen Minyak

-foto Internet
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut dalam kejadian letupan dipercayai berpunca daripada tangki gas asli untuk kenderaan (NGV) di sebuah stesen minyak di Taman Mount Austin, di sini, petang Selasa.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Johor Bahru Lt (PA) Mohd Aziz Jupri berkata mangsa, Mohd Faizal Mazlan, 33, pekerja stesen minyak berkenaan dipercayai berada berhampiran dengan tangki berkenaan ketika ia meletup.

Beliau berkata panggilan kecemasan diterima pada pukul 3.01 petang dan seramai 13 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) beserta sebuah ambulans, sebuah Toyota Hilux dan dua motor dikejarkan di tempat kejadian.

"Belum dapat dipastikan lagi punca, masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat...kita dapati tangki NGV meletup," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa oleh pihak polis ke Hospital Sultan Ismail.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Lum Chee Hong, 30, yang tinggal di pangsapuri berhampiran stesen minyak itu berkata beliau terdengar letupan pada kira-kira pukul 2.53 petang.

"Ketika kejadian, saya sedang mendengar lagu, tiba-tiba satu letupan kuat kedengaran, lalu saya bergegas keluar untuk melihat apa yang terjadi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Lum yang berada di tingkat lima pangsapuri berkenaan kemudian ternampak api marak di stesen minyak berkenaan dan orang ramai berhampiran kawasan itu turut keluar melihat kejadian.

Dia juga melihat pihak bomba membawa keluar mangsa dari tempat kejadian dan memadamkan api yang sedang marak di tangki berkenaan.

Sementara itu dalam satu kenyataan Petronas Dagangan Bhd mengesahkan lelaki yang meninggal dunia di sebuah stesen minyak Petronas di sini adalah seorang pekerja kontraktor Petronas Dagangan.

Syarikat itu berkata berdasarkan penemuan awal, letupan itu berlaku pada pemampat gas asli untuk kenderaan (NGV) di stesen itu semasa kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan.

Satu pasukan respons kecemasan digerakkan dengan segera dan bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan.

"Insiden itu telah dapat dikawal," kata syarikat itu dan menambah punca letupan masih lagi dalam siasatan.

Petronas Dagangan turut mengucapkan takziah ke atas keluarga mangsa letupan itu.

NGV, gas asli, Taman Mount Austin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain