suria

Richard Riot Akan Bertemu TPM, Nafi 40 Peratus Pekerja Asing Tiada Dokumen

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot menafikan membuat sebarang kenyataan di Dewan Rakyat bahawa "40 peratus daripada pekerja asing di Malaysia tidak memiliki dokumen yang sah".

"Anda boleh memetik saya mengenai perkara ini; Bagi setiap 10 pekerja yang mempunyai dokumen, terdapat tujuh pekerja yang tidak sah...itu sahaja...saya tidak pernah menyebut apa-apa angka lain kecuali angka itu.

"Saya berpegang kepada itu...ia seharusnya tercatat di dalam hansard (di Dewan Rakyat) dan anda boleh memeriksanya...sebahagian wartawan suka memutarbelitkan (kenyataan)," katanya kepada Bernama selepas perasmian 'Emerging Leaders Dialogues' Asia 2016 di Sekolah Antarabangsa Britain di sini, Khamis. 

Beliau mengulas mengenai laporan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mendapatkan penjelasannya berhubung dakwaan yang diucapkan oleh Riot di Dewan Rakyat dua hari lepas.

Riot dipetik sebagai berkata, kira-kira 40 peratus daripada tenaga kerja asing di Malaysia tidak memiliki dokumen sah, menghalang usaha kerajaan untuk mengurangkan pergantungan ke atas pekerja asing menjelang 2020.

Apabila ditanya sama ada beliau akan bertemu Ahmad Zahid untuk menjernihkan keadaan, Riot berkata "beliau adalah bos saya, sudah pasti saya akan bertemu dengannya...tidak lama lagi? Kita akan lihat."

Terdahulu, dalam ucapannya, Riot berkata dialog itu akan menjadi platform yang baik untuk menangani isu-isu latihan semula pemimpin mengenai pelbagai peranan kepimpinan pada zaman perubahan ekonomi.

"Malaysia bakal menjadi ekonomi utama di Asia dan sudah tiba masanya dialog seumpama ini diadakan di negara ini.

"Memandangkan anda akan melakukan ekspedisi pembelajaran di beberapa negeri di Malaysia, saya menggesa anda untuk menjalankan kajian bagaimana negeri-negeri di Malaysia menyesuaikan ekonomi dengan perubahan masa," katanya.

Riot menegaskan pembangunan kepimpinan menyumbang secara langsung kepada objektif kementerian beliau untuk mengekalkan pembangunan ekonomi negara melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

"Di sinilah cara-cara kreatif dan sistematik dilihat untuk membentuk pakatan strategik antara sektor awam dan swasta bagi meningkatkan pendapatan dan pertumbuhan ekonomi," katanya.-- Bernama


Artikel Berikut

Artikel Lain