suria

Kerja Pembinaan Di Batu Caves Mungkin Tergendala

KUALA LUMPUR: Kuil ikonik Batu Caves akan diubahsuai sebelum sambutan Thaipusam yang tinggal lebih kurang 100 hari saja lagi.

Tetapi ia dilihat bakal berdepan masalah apabila jawatankuasa kuil tidak mempunyai kebenaran pihak berkuasa tempatan dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah memberikan notis amaran kepada mereka.

Pengarah Komunikasi Korporat MPS Mohamad Zin Masoad berkata pihaknya telah menyerahkan notis amaran di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1976.

"Notis itu menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh mendirikan sesuatu bangunan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan," katanya, Selasa.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa tiada denda telah dikeluarkan, malah majlis cuba mengelak untuk menyita tapak pembinaan yang dilakukan untuk tangga kuil.

Satu laluan bertangga sedang dibina sebagai tambahan kepada tiga yang sedia ada dan mungkin juga akan menimbulkan persoalan keselamatan terutamanya ketika Thaipusam, apabila lebih daripada satu juta orang memenuhi kuil tersebut.

"Sebaik sahaja kami memberikan notis itu, pihak berkuasa kuil sepatutnya kembali kepada kami dalam tempoh dua minggu," kata Mohamad Zin.

Mohamad Zin berkata MPS hanya menyedari tentang kerja-kerja sambungan dan penambahan tangga ke gua, tetapi tidak diberitahu mengenai kerja-kerja selanjutnya yang berlaku di dalam gua.

Beliau berkata, presiden majlis Suliman Abd Rahman telah dimaklumkan mengenai isu itu dan telah mengarahkan Jabatan Bangunan majlis untuk mengambil tindakan.

Difahamkan Suliman akan melawat tapak pembinaan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Menurut Ahli Majlis Perbandaran Petaling Jaya dan peguam perancangan bandar Derek Fernandez, pihak berkuasa tempatan mempunyai beberapa pilihan selepas mengeluarkan notis itu.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain