suria

Murid Darjah Dua Tersepit Dalam Longkang Sekolah

KLANG: Seorang murid lelaki darjah dua berdepan detik mencemaskan pada Selasa apabila tersepit dalam longkang sekolahnya selama 20 minit selepas mengambil duit belanja yang terjatuh dalam longkang sedalam 0.4 meter.  

Ketua Balai Bomba Sungai Pinang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zaidi Ahtan berkata, dalam kejadian kira-kira 1 petang itu di Sekolah Kebangsaan Batu Belah di sini, mangsa bertindak masuk ke dalam longkang itu selepas gagal mengambil duit yang terjatuh menggunakan tangan.

"Selepas berjaya mengambil wangnya murid lelaki itu gagal keluar semula daripada longkang yang ditutup jerisi besi menyebabkan mangsa panik dan menangis.

"Guru-guru yang menyedari kejadian itu kemudian bertindak menghubungi pihak bomba dan ketika kami tiba di lokasi kejadian, mangsa dilihat terbaring secara mengiring di dalam longkang berkenaan," katanya ketika dihubungi. 

Zaidi berkata, mangsa berjaya dikeluarkan selepas bomba mengangkat jeriji besi itu dan tiada kecederaan dilaporkan. - Bernama

Artikel Lain