suria

Polis Filipina Wujudkan Pangkalan Hadapan Tangani Jenayah Rentas Desa

Khalid Abu Bakar menyerahkan lencana Polis ASEAN (ASEANPOL) kepada Pesuruhjaya Polis Hoong Wee Teck simbolik penyerahan penganjuran Persidangan ASEANPOL Ke-37 di Singapura sempena Majlis Penutup Persidangan ASEANPOL Ke-36 pada Khamis. Foto: Bernama

PUTRAJAYA: Polis Filipina bersetuju mewujudkan pangkalan hadapan di selatan negara itu khususnya bagi menangani jenayah rentas sempadan di kawasan Laut China Selatan, yang sering berlaku kegiatan jenayah termasuk penculikan. 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata perkara itu dinyatakan rakan sejawatannya dari negara itu Jeneral Ronald Marapon Dela Rosa pada pertemuan mereka di luar Persidangan Polis Asean (Aseanapol) Ke-36 di sini, Khamis.

"Pangkalan itu akan berfungsi bagi mengesan aktiviti jenayah seperti penyeludupan senjata dan penculikan di Selatan Filipina kerana Malaysia telah pun ada pangkalan hadapan ini," katanya pada sidang media selepas menutup persidangan tiga hari itu di sini, Khamis.

Menurutnya perbincangan lanjut mengenai lokasi dan bila penubuhan pangkalan itu akan diputuskan Filipina dalam masa terdekat.

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun akan berbincang dengan Komander Polis Selatan Filipina berhubung penubuhan pangkalan hadapan itu, katanya.

Mengenai usaha menyekat penyeludupan senjata api merentas sempadan negara khususnya dari Thailand, Khalid berkata Unit Risikan Sempadan PDRM yang berpangkalan di Alor Setar, Kedah meningkatkan kawalan dan menjalankanoperasi pencegahan dengan kerjasama Polis Thailand. 

Beliau berkata aktiviti penyeludupan boleh berlaku dalam pelbagai caradan memerlukan pasukan keselamatan kedua-kedua negara bertindak lebih efektif termasuk menjalin hubungan rapat.

Mengenai usaha menyekat kemasukan bekas atau anggota militan Daesh, Khalid berkata polis negara-negara ASEAN bersetuju memperkukuh kerjasama forensik khususnya bagi mengesan pergerakan anggota kumpulan itu yang mungkin menjadikan negara-negara Asia Tenggara sebagai transit.

"Mesyuarat pertama mengenainya akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkaitan termasuk berkongsi pengalaman dan kepakaranmasing-masing dalam bidang forensik," katanya. 

Mengenai dakwaan kononnya Akta Majlis Keselamatan Negara, yang akandikuatkuasakan Isnin ini, digunakan untuk tujuan politik termasuk menghalang perhimpunan jalanan, Khalid berkata akta itu hanya digunakan untuk menangani tindakan yang boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara.  

"Jika ingin mengadakan perhimpunan, pihak berkenaan perlu memohon serta menghantar notis kepada polis dan kita akan berikan kerjasama kepada mereka mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya. 

Ditanya mengenai cadangan menannam pokok ketum secara komersil oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), beliau meminta pihak berkenaan supaya menjalankan kajian saintifik mengenai manfaatnya dari segi perubatan dan cara mencegah penyalahgunaan daun ketum. 

Beliau juga menyarankan RISDA berbincang dengan Kementerian Kesihatan mengenainya kerana daun ketum dikategorikan sebagai dadah berjadual. Mengenai pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, beliau berkata kehilangan pesawat itu hanya boleh ditentukan selepas kotak hitam pesawat itu ditemui.-Bernama

Artikel Lain