suria

Lagi Bukti Wujudnya Aktiviti Buru Jerung

SEMPORNA: Gambar yang dirakamkan oleh sekumpulan pelancong membuktikan wujudnya aktiviti memburu jerung di kawasan perairan di sini.

Gambar-gambar yang dirakamkan menunjukkan beberapa ekor jerung yang telah mati tersadai di atas sebuah bot panjang dengan sekurang-kurangnya empat bahagian ekor jerung dilihat terjuntai di tepi bot.

Situasi ini berlaku hanya beberapa hari selepas gambar-gambar ngeri, didakwa akibat aktiviti mengambil sirip jerung di Pulau Mabul telah tersebar.

Selepas kembali ke bot apabila selesai melakukan aktiviti menyelam di Ribbon Valley, selatan Mabul pada 22 Julai, kumpulan pelancong dari Sweden berkata mereka kecewa kerana situasi tersebut bukanlah sesuatu yang mereka mahu lihat apabila bercuti ke sini.

Jonas Neander, yang berkongsi gambar dengan Persatuan Perlindungan Jerung Sabah (SSPA), berkata beliau kecewa melihat jerung-jerung yang mati di atas bot, begitu dekat dengan syurga menyelam di Sipadan.

"Saya bagai tak percaya apabila selepas selesai menyelam pada waktu tengahari, kami melihat sebuah bot dengan ekor jerung jelas kelihatan tergantung di tepi bot.

"Kami telah mengikuti perkembangan mengenai aktiviti ini di Mabul dalam talian tetapi untuk melihat jerung mati dengan mata sendiri adalah amat mengecewakan," kata Neander salah seorang daripada kumpulan yang terdiri daripada sembilan penyelam.

SSPA, dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, pihaknya kesal apabila penyelam yang melawat Sabah, khususnya kawasan Semporna, telah menyaksikan jerung dimusnahkan.

"Adalah menyedihkan dan malang apabila pelancong yang menyokong ekonomi tempatan dengan menyelam di Sabah melihat jerung mati semasa percutian mereka.

"Mereka berada di sini untuk menghargai apa yang boleh ditawarkan Sabah dari segi biodiversiti," katanya.

Melindungi jerung akan memberi manfaat kepada nelayan dan ekonomi di samping memastikan masa depan pelbagai kehidupan laut Sabah, tambah SSPA.

Kerajaan Sabah sedang bergerak untuk mewujudkan santuari ikan jerung di semua enam taman laut, termasuk Taman Laut Tun Sakaran di Semporna.
sirip jerung, buru jerung, Sipadan, Mabul

Artikel Lain