suria

Op Selamat Mungkin Diadakan Di Luar Musim Perayaan

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang untuk melaksanakan Op Selamat yang tidak terhad kepada musim perayaan semata-mata, bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata operasi berkenaan dicadangkan untuk dilaksanakan secara berkala.

"Operasi berkenaan akan dilaksanakan di luar musim perayaan terutamanya di beberapa lebuh raya yang dikenal pasti kawasan sering berlaku kemalangan.

"Setakat ini, PDRM telah mengenal pasti sebanyak 78 kawasan 'blackspot' yang kerap berlaku kemalangan iaitu di Jalan Persekutuan dan Jalan Perbandaran di sekitar ibu kota sahaja," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Terdahulu, beliau menyampaikan surat penghargaan kepada pengguna jalan raya berhemah dan kontinjen terbaik Op Selamat 9/2016 sempena Aidilfitri di Terminal Bersepadu Selatan, dekat sini.

Noor Rashid berkata jika dilihat, trend kemalangan serius berlaku kebanyakannya berpunca daripada pemandu-pemandu tempatan dan bukannya pemandu dari luar daerah yang ingin pulang ke kampung.

"Walaupun kadar kemalangan pada tahun ini meningkat 2.6 peratus berbanding tahun lalu, kadar kemalangan maut mencatat penurunan dan PDRM dapat menyelamatkan 30 nyawa menerusi Op Selamat baru-baru ini.

"Untuk operasi komprehensif ini, pihak polis akan menggunakan dua pendekatan iaitu secara 'total enforcement' dan 'services' seperti Op Selamat yang telah dibuat baru-baru ini," katanya.

Ditanya bila tempoh pelaksanaan operasi itu, Noor Rashid berkata pihaknya masih dalam perbincangan dan belum menetapkan tarikh pelancarannya.

Pada Op Selamat 9/2016 sempena Aidilfitri yang bermula 29 Jun hingga 13 Julai, sebanyak 8,726 kes kemalangan direkodkan di Jalan Bandaran, 4,506 kes di Jalan Persekutuan, 4,125 kes di jalan negeri dan 2,315 kes di lebuh raya.

Jumlah kematian akibat kemalangan pada Op Selamat 9/2016 ialah sebanyak 299 kes manakala pada Op Selamat 7/2015 mencatat 330 kes kematian.

Polis, Op Selamat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain