suria

Pasangan Kekasih Aktif Curi Kad Kredit Di Kawasan Riadah Diberkas

KUALA LUMPUR: Polis menahan sepasang kekasih yang dipercayai bergiat aktif mencuri kad kredit di kawasan riadah di sekitar ibu kota dan Selangor, pada Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur ACP Izany Abdul Ghany berkata lelaki berumur 49 tahun dan teman wanita berumur 43 tahun itu ditahan pada 9.45 malam di Bandar Baru Klang, dekat sini.

Izany berkata modus operandi yang digunakan pasangan itu adalah dengan menyasarkan mangsa yang meninggalkan barangan berharga seperti dompet di dalam kereta ketika beriadah.

"Hasil risikan, kami berjaya menahan suspek lelaki warga tempatan bersama teman wanitanya yang merupakan warga China di dalam rumah itu.

"Pemeriksaan lanjut telah menemui sebanyak 19 kad kredit pelbagai nama, 18 kad mesin juruwang automatik (ATM) dan peralatan khas yang digunakan seperti  'allen key' dan 'jammer' yang digunakan untuk menghalang penggera kereta berbunyi ketika dibuka tanpa menggunakan kunci," katanya dalam sidang media di sini, Jumaat.

"Selepas mangsa meninggalkan kenderaan mereka, suspek akan menggunakan peralatan khas bagi membuka kunci kereta itu dan mengambil kad kredit sebelum digunakan di pusat membeli-belah.

"Kebiasaannya suspek akan menggunakan kad yang dicuri itu untuk membeli gajet sebelum dijual kembali untuk mendapatkan duit.

"Siasatan lanjut mendapati, suspek lelaki itu mempunyai lima rekod jenayah lampau antaranya membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula Selasa lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 739, 420 dan 456 kerana mencuri, menipu dan memalsukan dokumen.

Beliau berkata pihaknya yakin berjaya menyelesaikan enam kes yang sama sejak dua tahun lepas.

Izany berkata, pihaknya sedang giat mengesan rakan pasangan tersebut, seorang lelaki warga tempatan berserta wanita warga China yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan itu.

China, Polis

Artikel Lain