suria

Celcom Umum Gangguan Rangkaian Di Lembah Klang Bermula Jumaat

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd akan melaksanakan penjadualan penggantian peralatan rangkaian di semua tapak menara komunikasi di Lembah Klang antara pukul 10 pagi dan 5 petang bagi tempoh empat bulan bermula Jumaat ini.

Celcom dalam satu kenyataan hari ini berkata pelanggan mungkin akan menghadapi gangguan perkhidmatan terputus-putus atau hilang hubungan sementara semasa proses tersebut yang merupakan sebahagian daripada peruntukan dana bernilai RM2 bilion bagi tempoh lima tahun.

"Penggantian itu juga merupakan sebahagian daripada persediaan Celcom Axiata untuk meningkatkan rangkaian kepada 4.5G pada masa depan serta menyediakan lapisan asas bagi rangkaian 5G pada masa depan," kata syarikat itu.

Sementara itu, Celcom Axiata juga mengumumkan kerjasamanya dengan Ericsson Malaysia Sdn Bhd dan Huawei Technologies (M) Sdn Bhd untuk menyepadukan, menggunakan dan mengendalikan pembangunan rangkaian 4G LTE syarikat itu.

Kedua-dua rakan kongsi akan menyediakan perkhidmatan Rangkaian Akses Radio Celcom Axiata, yang akan membawa kepada peningkatan seterusnya pengalaman pelanggan.

Celcom Axiata juga menempatkan sementara waktu "Cells on Wheels" (luar bangunan) dan femtocells (dalam bangunan) yang akan berfungsi sebagai hab rangkaian penggantian di tapak yang ditetapkan bagi memastikan pelanggan yang terjejas hanya mengalami gangguan perkhidmatan terputus-putus yang minimum.

Sejajar dengan komitmen berterusan Celcom Axiata untuk menyediakan pengalaman rangkaian terbaik bagi pelanggan, lebih 4,600 tapak menara komunikasi di seluruh negara akan dimodenkan bagi menerima teknologi 4G, peralatan dan perisian terkini.

Jadual pemodenan akan dikemas kini setiap Jumaat. Bagi butiran lanjut, sila layari www.celcom.com.my atau hubungi Celcom Careline di talian 019-601 1111.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain