suria

Singapura Hargai Bantuan Malaysia Semasa Gempa Bumi Di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Singapura mengucapkan setinggi penghargaan kepada pihak berkuasa Malaysia dan rakyatnya khususnya di Sabah kerana membantu pendaki republik itu di Gunung Kinabalu semasa kejadian gempa bumi dahsyat berukuran 5.9 pada skala Richter di Ranau pada 5 Jun tahun lepas.

Menteri Luarnya Dr Vivian Balakrishnan berkata bantuan yang diberikan pihak berkuasa Malaysia dan malim gunung ketika fasa pencarian, menyelamat dan pemulihan tragedi itu membawa kelegaan yang tidak terhingga kepada pendaki Singapura dan anggota keluarga mereka.

"Kesanggupan anda untuk berusaha lebih lagi untuk kami, walaupun anda sendiri sedang bersedih dengan tragedi itu, merupakan kenyataan yang menguatkan hubungan antara rakyat dan persahabatan yang wujud antara dua negara," katanya pada Majlis Resepsi 'Post-Sabah Earthquake-Thank You' anjuran Kementerian Luar Singapura di sini malam Sabtu.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Vivian berkata sebagai maklum balas kepada permintaan orang ramai, Kementerian Pendidikan Singapura dan Yayasan Temasek bersama-sama mewujudkan Dana Gempa Bumi Sabah pada Jun 2015 dan ramai rakyat Singapura dan penderma korporat telah memberi sumbangan.

Beliau berkata sebanyak S$100,000 (RM289,000) telah dikumpul bagi membantu malim gunung dan jurulatih pendakian di Sabah yang telah diagihkan kepada Tabung Bencana Gempa Bumi yang ditadbir oleh Taman-Taman Sabah.

"Kami berharap sumbangan ini akan membantu malim gunung dan jurulatih pendakian membina semula kehidupan mereka," katanya.

Sebagai tanda penghargaan juga, Vivian berkata, Presiden Singapura Tony Tan telah menganugerahkan Pingat Kepujian sempena Hari Kebangsaan republik itu kepada lima malim gunung yang mengiringi pelajar mereka ketika ekspedisi itu pada Jun.

Gempa bumi Sabah mengorbankan 18 orang termasuk sembilan rakyat Singapura.

Kira-kira 130 orang terkandas di gunung tertinggi di Asia Tenggara itu, tetapi telah diselamatkan kemudiannya.

Empat malim gunung - Robbi Sapinggi, Valerian Joannes, Ricky Masirin dan Joseph Solungin - maut ketika melindungi para pendaki.  - BERNAMA

gempa bumi, malim gunung, Sabah, Singapura

Artikel Lain