suria

Pesara Tentera Bawa 32,000 Liter Diesel Ditahan

Gambar hiasan.

BUKIT KAYU HITAM: Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM)  Kedah menahan seorang pesara tentera bersama sebuah lori yang membawa muatan 32,000 liter diesel Khamis lalu, kerana menyalahgunakan permit dan dokumen penghantaran minyak.

Komander AKSEM Kedah, Abd Latif Abdul Rahman berkata pesara berusia 44 tahun dan lori dipandunya ditahan kira-kira 4.30 petang ketika sepasukan anggota risik AKSEM Bukit Kayu Hitam membuat rondaan di kawasan Ladang Rakyat Bukit Kayu Hitam.

Beliau berkata suspek lelaki yang berasal dari Sungai Bakap, Pulau Pinang itu mendakwa sebagai pemandu lori di syarikat Pandamaran Synergy Petrolium, Pulau Pinang.

"Suspek dikatakan diminta kawannya yang tidak dapat bertugas untuk membawa minyak tersebut ke kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam di sini dengan bayaran upah RM85 bagi setiap penghantaran.

"Semasa penghantaran, suspek hanya diberi pelan untuk ke tempat tersebut (kawasan perindustrian) namun telah tersesat masuk ke kawasan Ladang Rakyat Bukit Kayu Hitam dan kemudiannya ditahan oleh AKSEM," katanya pada sidang akhbar di Kompleks AKSEM di sini Ahad.

Abd Latif berkata berdasarkan dokumen, suspek sepatutnya menghantar minyak dari Pulau Pinang ke sebuah syarikat yang mengedarkan minyak di Klang, Selangor, namun minyak tersebut dibawa ke sini dipercayai untuk diedarkan di kawasan ini.

Susulan itu katanya, suspek bersama kenderaan dianggarkan bernilai RM200,000 dan minyak bernilai RM43,200 itu ditahan dan dibawa ke pejabat AKSEM Bukit Kayu Hitam atas kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barangan kawalan dengan niat melakukan kesalahan.

Abd Latif berkata minyak tersebut dipercayai diedarkan ke pangkalan-pangkalan kecil di sekitar kawasan perindustrian di sini serta tidak menolak kemungkinan ia juga untuk diseludup ke negara jiran, Thailand.

Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua denda RM200,000 atau lima tahun penjara.

Bagi syarikat pula, boleh didenda RM250,000 bagi kesalahan pertama atau setahun penjara manakala RM500,000 bagi kesalahan kedua atau dua tahun penjara.

Kes diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Kubang Pasu untuk siasatan lanjut, katanya. - BERNAMA

diesel, pesara tentera

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain