suria

UTC Antara Inovasi Terbaik Kerajaan - Najib

Najib Tun Razak merasmikan Pusat Tranformasi Bandar (UTC), Miri, Sabtu.Foto: Bernama

MIRI: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara sebagai salah satu inovasi terbaik kerajaan dalam memberi khidmat kepada rakyat.

Perdana menteri berkata penubuhan UTC adalah bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat ditawarkan dengan kaedah paling inovatif dan kreatif.

"UTC kita merupakan antara model terbaik di dunia sehingga Bank Dunia menyifatkan ia sebagai satu contoh," katanya ketika berucap merasmikan UTC Miri, Sabtu.

Beliau berkata Malaysia berada jauh di hadapan kerana kebanyakan negara maju tidak mempunyai pusat seumpama itu yang menyediakan pelbagai perkhidmatan penting di bawah satu bumbung kepada rakyat dari pukul 8 pagi hingga 9 malam setiap hari termasuk cuti umum dan hujung minggu.

UTC Miri merupakan kedua di Sarawak selepas Kuching dan sebuah lagi akan dibuka di Sibu tidak lama lagi.

Najib berkata tahun lepas, sebanyak 11.5 juta orang mendapatkan perkhidmatan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di 12 buah UTC di seluruh negara sejak inisiatif itu dimulakan pada 2012.

"Maklum balas menunjukkan orang ramai sangat puas hati dan selesa dengan kemudahan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung di UTC.

"Malah, warganegara juga boleh mendapat rawatan perubatan di Klinik 1Malaysia di UTC dengan bayaran yang sangat nominal," katanya.

Najib mengulangi bahawa kerajaan bukan pejuang politik populis atau politik menghasut kebencian terhadap pemimpin tetapi sebuah kerajaan yang hanya mahu berkhidmat kepada rakyat dengan cara yang paling berkesan.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak, DatukSeri Michael Manyin, dalam ucapannya, meminta kerajaan pusat membina lebih banyak UTC di negeri itu seperti di Bintulu dan Serian.

Manyin, yang mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem pada majlis itu itu, berkata lebih 23,000 orang telah menggunakan kemudahan di UTC Miri sejak ia beroperasi awal tahun ini dan ini membuktikan popularitinya.

Terdahulu, Najib turut melawat tapak projek perumahan Fasa 2, Vista Perdana,sebuah projek Syarikat Perumahan Negara Berhad di bandar baharu Permayjaya dekat sini.-Bernama

UTC, Miri, Najib Tun Razak

Artikel Lain