suria

Saman Tun M Terhadap Najib Hanyalah Agenda Politik - Khairy

Khairy Jamaluddin
PETALING JAYA: Tindakan guaman yang difailkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak oleh Tun Dr Mahathir Mohamad hanyalah kesinambungan agenda politik untuk menggulingkan perdana menteri, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

"Bagi parti dan kerajaan, kami menyokong penuh perdana menteri dan kami berpandangan bahawa ia (tindakan guaman) adalah perlanjutan agenda politik untuk menggulingkan perdana menteri," kata Khairy kepada pemberita pada Program Kesedaran Disleksia Melalui Sukaneka di Padang Kelab Kilat TNB, di sini Sabtu.

Rabu lepas (23 Mac) Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri, bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, dan bekas anggota Umno bahagian Langkawi Anina Saadudin memfailkan saman terhadap Najib berhubung dakwaan salah laku membabitkan 1Malaysia Development Berhad.

Sementara itu Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata Mesyuarat Jemaah Menteri semalam (25 Mac) juga diberi penjelasan berkenaan kes pegawai kementeriannya yang terbabit dalam penyelewengan dana kementerian itu yang bernilai RM107 juta.

Katanya, beliau juga memaklumkan kepada jemaah menteri bahawa kes tersebut kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu, siasatan terhadap kes itu juga dilakukan satu pasukan bebas yang bertugas di bawah Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Audit Negara, katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata terpulang kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menimbangkan untuk mengambil cuti sementara pihak berkuasa menyiasat kes pembelian banglo oleh beliau.

"Saya fikir gesaan ini telahpun dibuat oleh banyak pihak dan terserahlah kepada beliau," katanya.

Pembelian banglo di Jalan Pinhorn di Pulau Pinang oleh Lim dengan harga RM2.8 juta mencetuskan kontroversi apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya pada persidangan Dewan Rakyat, dan mendakwa harga itu di bawah nilai pasaran.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain