suria

Adenan Jumpa Kumpulan S4S Pada 31 Mac

Tan Sri Adenan Satem
KUCHING: Satu keputusan yang tidak dijangka apabila Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem akan bertemu dengan kumpulan Sarawak for Sarawakians (S4S) minggu depan.

Menurut ketuanya Peter John Jaban, beliau sendiri tidak menyangka apabila ketua menteri bersetuju untuk mengadakan pertemuan yang dijadualkan pada 31 Mac ini, tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diuar-uarkan.

"Ya, saya terkejut. Ketua menteri sendiri yang menyebut tarikh itu, seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar Cina. Kami akan menunggu pengesahan," John memberitahu The Star pada Jumaat.

Dalam suratnya yang bertarikh 25 Mac, S4S menulis kepada Setiausaha Kerja Ketua Menteri untuk mengesahkan tarikh dan masa yang ditetapkan.

Pertemuan itu mungkin dibuat apabila wartawan, awal minggu ini memintanya mengulas mengenai debat anjuran S4S di sini pada 10 April mengenai pilihan raya negeri. Ketua menteri dipetik sebagai berkata bahawa beliau mahu berjumpa dengan kumpulan itu.

Dalam suratnya, John menulis kumpulan S4S sangat menghargai peranan Adenan dalam membawa fokus baharu terhadap autonomi dan kedudukan Sarawak sebagai salah sebuah negeri dalam Malaysia.

"Kami menyedari masih terdapat jalan yang panjang di hadapan, dan matlamat itu hanya akan tercapai dengan kerjasama, kerjasama dan sokongan semua rakyat Sarawak. Oleh itu, kami amat berharap untuk membincangkan apa peranan yang boleh dimainkan S4S dalam masa depan negara kita dan juga untuk mengatur perbahasan yang akan datang," kata John.

John adalah pengasas bersama Radio Free Sarawak yang ditubuhkan bersama Clare Newcastle Brown, Ketua Editor Sarawak Report.

Artikel Lain