suria

Bomba Terima Tiga Panggilan Kecemasan Kesan Gegaran Di Sumatera

Orang ramai berkumpul di bawah Pangsapuri Dwi Mahkota di Taman Bukit Aliff selepas berlakunya gegaran di pangsapuri itu Rabu malam. Foto Bernama

SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor menerima tiga panggilan kecemasan akibat merasai gegaran berikutan gempa bumi kuat yang melanda barat daya Sumatera pada Rabu malam.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan gegaran pertama kira-kira 8.54 malam melibatkan Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 7, Petaling Jaya. 

Beliau berkata, panggilan kedua diterima 15 minit kemudian daripada penduduk di Blok A, Seksyen 26/38, Kampung Baru Hicom, Shah Alam.

"Panggilan ketiga pula diterima satu minit selepas itu dari kawasan Tiara Park Home, Taman Bukit Ria, Kajang," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau, bagaimanapun berkata, JBPM Selangor masih melakukan pemantauan terhadap kawasan terlibat bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini.

Gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter berlaku di barat daya Sumatera pada 8.49 malam Rabu.

Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami terhadap Malaysia setakat ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Menurut jabatan itu, gempa bumi berkenaan berpusat kira-kira 649km Barat Daya dari Siberut, Indonesia, iaitu 1,163km Barat Daya dari Port Dickson, Negeri Sembilan.

Berikutan kejadian itu, gegaran dirasai di beberapa tempat di Selangor dan Johor, menurut jabatan meteorologi berkenaan. 

Sementara itu di KOTA BARU, penduduk yang tinggal di apartment Pelangi Mall setinggi 23 tingkat di sini, panik apabila bangunan didiami mereka bergegar susulan gempa bumi tersebut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baru, Pegawai Bomba Kanan II Ismail Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penghuni apartment berkenaan pada 9.38 malam.

"Kita telah membuat tinjauan dan setelah dibuat pemeriksaan, didapati tiada melibatkan mangsa yang terperangkap," katanya ketika dihubungi di sini. - Bernama

Artikel Lain