suria

Objek Dijumpai Di Mozambique Belum Disahkan Milik MH370

Kemungkinan serpihan yang ditemui adalah MH370.

KUALA LUMPUR: Belum dapat disahkan bahawa objek yang ditemui di Mozambique ialah milik pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) kini bekerjasama dengan rakan sejawatnya dari Australia untuk memindahkan serpihan tersebut.

"Saya menyeru semua pihak supaya mengelak daripada membuat sebarang spekulasi kerana kami belum dapat mengesahkan bahawa serpihan itu ialah milik MH370 ketika ini," kata beliau dalam laman Twitter pada Rabu malam.

Liow mengulas laporan media antarabangsa bahawa objek yang dijumpai di beting pasir di Terusan Mozambique mungkin serpihak dari pesawat Boeing 777, dan sedang diperiksa oleh para penyiasat yang menjejaki MH370 yang hilang.

"Ia belum dapat disahkan@dca_malaysia sedang bekerjasama dengan rakan dari Australia untuk mengeluarkan serpihan itu," kata Liow.

MH370 membawa 239 penumpang dan krew apabila ia dilaporkan hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac, 2014.

Pada 29 Julai tahun lepas, serpihan yang dijumpai di Pulau Reunion di Lautan Hindi telah dihantar ke Perancis untuk dianalisis. 

Pada 6 Ogos tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa serpihan itu ialah milik MH370, dan usaha diteruskan bagi mencari pesawat tersebut. - Bernama

Boeing 777, MH370, Mozambique

Artikel Berikut

Hikmah Doa Di Baitullah

Artikel Lain