suria

Gempa Bumi Kuat Di Sumatera, Tiada Ancaman Tsunami Buat Malaysia

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter berlaku di barat daya Sumatera Rabu malam.

Gegaran tersebut tersangat kuat sehinggakan terdapat beberapa bangunan tinggi di Klang dan Shah Alam dilaporkan bergoyang selama beberapa saat.

Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami terhadap Malaysia setakat ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Menurut satu kenyataan, gempa bumi itu berpusat kira-kira 649 km Barat Daya dari Siberut, Indonesia, iaitu 1,163 km Barat Daya dari Port Dickson, Negeri Sembilan pada 8.49 malam ini.

Berikutan kejadian itu, gegaran dirasai di beberapa tempat di Selangor dan Johor, menurut jabatan itu.

Mstar Online telah menerima beberapa panggilan daripada orang ramai yang tinggal di beberapa buah apartmen di Shah Alam memaklumkan yang mereka juga merasai gegaran kuat sekurang-kurangnya selama lima hingga lapan saat.

Salah seorang daripadanya yang tinggal di tingkat 14 sebuah apartmen di Seksyen 20 Shah Alam memberitahu; "Saya sedang menyiapkan makan malam pada lebih kurang jam lapan malam lebih dan tiba-tiba saya berasa pening dan ketika saya memandang ke arah balkoni apartmen saya dari arah ruang makan saya nampak bangunan apartmen kami seperti berhayun dari kiri ke kanan dan kemudian ke kiri semula selama beberapa saat."

Menurut Jabatan Meteorologi, pihaknya kini terus membuat pemantauan bagi perkembangan terkini kejadian gempa bumi ini.

Di JAKARTA, INDONESIA, siaran stesen televisyen memetik Ketua Badan Meteorologi Klimatologi dan Geosifika (BMKG) Andi Eka Sakya sebagai berkata gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter dilaporkan berlaku di perairan Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat pada pukul 7.58 malam waktu tempatan.

Menurut Andi, pihaknya telah mengeluarkan amaran potensi berlakunya tsunami.

Laporan televisyen juga menyebut gempa itu turut dirasai sehingga ke Padang di Sumatera Barat, Medan dan Aceh.

Kawasan air di pantai Meulaboh di Aceh Barat pula dilaporkan surut secara tiba-tiba dan dikhuatiri sebagai tanda-tanda berlakunya tsunami.

Andi berkata, penduduk diminta tidak panik dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan.

Bagaimanapun, ribuan penduduk di kawasan pantai di Padang dilaporkan bergerak ke arah kawasan tinggi di Kota Padang sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan dan keadaan di kota itu dilaporkan mengalami kesesakan yang teruk.

Setakat ini, belum ada sebarang laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.

Sementara itu, Pengarah Education Malaysia di Jakarta, Dr Juzhar Jusoh ketika dihubungi Bernama berkata, kesemua 314 pelajar Malaysia di Aceh dan 78 pelajar di Andalas, Padang diarah supaya berpindah ke tempat yang selamat.

Katanya, semua ketua-ketua pelajar telah dimaklumkan supaya mengikut arahan yang ditetapkan dan pihak Education Malaysia sedang menguruskan keperluan pelajar.

"Kita sedang memantau keadaan dan menghubungi ketua-ketua pelajar dan setakat ini kesemua pelajar telah tahu apa yang harus mereka lakukan.

Mengikutlaporan yang diterima, pelajar memberitahu gempa kali ini terasa kuat di Padang dan masa yang berlaku agak lama," kata beliau. 

Beliau berkata, ibu bapa di Malaysia tidak perlu bimbang kerana Education Malaysia mempunyai sistem prosedur bagi menghadapi sebarang bencana alam dengan melantik seorang ketua bagi setiap 10 orang pelajar.

Juzhar berkata, menerusi sistem itu, semua ketua pelajar akan memastikan anggota kumpulannya dapat berhimpun dan tiada sesiapa yang akan ketinggalan.-Bernama

gempa bumi, Sumatera

Artikel Lain