suria

Serpihan Dipercayai Milik Pesawat Dibawa Ke Bangkok - RTAF

BANGKOK: Serpihan yang dijumpai di pantai Nakhon Si Thammarat pada Ahad telah dibawa ke Bangkok pada Isnin untuk dianalisis lebih lanjut oleh pakar-pakar penerbangan negara itu.

Ini disahkan oleh jurucakap Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF), Naib Marsyal Udara Porngsak Semachai, yang berkata pesawat yang membawa serpihan itu mendarat di pangkalan udara tentera Dong Mueang pada 5 petang (6 petang waktu Malaysia).

"Serpihan itu akan disimpan di pangkalan udara Dong Mueng untuk membolehkan pakar-pakar membuat pemeriksaan selanjutnya," kata beliau kepada Bernama dalam temu bual melalui telefon di sini, Isnin.

Dua hari lepas, beberapa orang nelayan menjumpai serpihan dipercayai dari bangkai pesawat terdampar di pantai Pa Thya di Nakhorn Si Thammarat dan memaklumkan kepada pihak berkuasa, kerana percaya objek itu ada kaitan dengan Penerbangan MH370 Malaysia Airlines.

Penerbangan MH370 yang dinaiki oleh 239 penumpang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Awal pagi Isnin, empat orang pegawai Malaysia, dipercayai dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA) melawat kawasan serpihan itu ditemui untuk mengumpulkan pelbagai data dan bukti sebelum kembali ke Kuala Lumpur. - BERNAMA

MH370, Bangkok

Artikel Lain