suria

Johor Bakal Wujud Pelan Induk Pembangunan Kreatif - Khaled Nordin

Mohamed Khaled Nordin.

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri bakal mewujudkan Pelan Induk Pembangunan Kreatif dalam usaha menjadikan Johor antara hab industri kreatif antarabangsa.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia sekaligus akan menempatkan Johor sebagai antara penggiat utama bidang kreatif di dunia selain negara seperti Britain dan Dubai.

Jelasnya, dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, industri kreatif dilihat mampu memberi impak positif kepada ekonomi negeri khususnya dan negara secara amnya.

"Sehubungan itu, kita berharap supaya hab pendidikan ini benar-benar dapat mendedahkan rakyat Malaysia kepada suasana pembelajaran global tanpa perlu belajar ke luar negara.

"Kita juga berharap dengan adanya hab ini, ia dapat menempatkan dan memberi peluang kepada rakyat Johor untuk turut mengikuti pengajian di universiti di sini," kata Mohamed Khaled.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Universiti Multimedia (MMU) Nusajaya di Educity@Iskandar dekat Iskandar Puteri, Johor Bahru, Isnin.

Turut hadir Canselor MMU, Tun Zaki Tun Azmi dan Pengerusi TM Berhad dan MMU, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

MMU Nusajaya merupakan kampus baharu cabang pendidikan TM susulan kejayaan dua kampus terdahulunya di Melaka serta Cyberjaya dan ia khusus bagi program Ijazah Seni Sinematik yang ditawarkan secara eksklusif oleh Fakulti Seni Sinematik MMU.

Kampus tersebut akan melatih generasi baharu yang memiliki kepakaran dalam bidang kreatif, penglipur lara, pencerita visual di Malaysia serta di rantau ini. - BERNAMA

Artikel Lain