suria

Lelaki Ditemui Maut Ditembak Selepas Kenderaan Dihalang Suspek

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tembakan, dipercayai ditembak dari jarak dekat di Jalan Jinjang di sini, Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 2.10 petang tadi, mangsa S.Surya Kumar, 41, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di tempat duduk pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R.Munusamy berkata mangsa dipercayai ditembak beberapa suspek yang menaiki dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyoto Hilux dan Mitsubishi Triton.

"Berdasarkan siasatan awal, kenderaan mangsa telah dihalang dua kenderaan ini sebelum mangsa ditemui mati," katanya.

Beliau berkata mangsa yang juga seorang kontraktor mengalami kecederaan  di dada serta muka akibat tembakan berkenaan.

Munusamy berkata hasil siasatan polis mendapati tiga kesan tembakan pada cermin hadapan selain cermin penumpang kenderaan itu juga pecah.

Katanya pemeriksaan di lokasi kejadian juga menemui kelongsong peluru dan satu peluru hidup 9mm kira-kira 12 meter daripada kenderaan mangsa.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan motif kejadian masih dalam siasatan," katanya. - BERNAMA

tembak, maut

Artikel Lain