suria

Najib Akan Bentang Laporan Indeks Syariah Pada 28 Mac

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan sijil penghargaan Penyelidikan IndekS Syariah Malaysia kepada Prof Dr Mohd Sahar Yahya pada majlis penghargaan Penyelidikan Indeks Syariah Malaysia 2015 di Seri Perdana, Selasa. Turut menyaksikan (dari kiri) Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki dan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan laporan Indeks Syariah bagi mengukur pelaksanaan agenda Islam dan pengisian memartabatkan Islam di Malaysia pada 28 Mac ini.

Najib berkata, Indeks Syariah itu sangat penting dan dekat di hatinya kerana sebagai Perdana Menteri beliau ingin mengetahui komitmen kerajaan terhadap agenda Islam.

Beliau berkata Indeks Syariah yang dilancarkan Februari tahun lalu dapat menentukan sama ada dasar-dasar yang dijalankan kerajaan berdasarkan syariat Islam.

"Kita tidak boleh membuat sesuatu kesimpulan semata-mata dari segi pandangan umum sahaja. Kadang-kadang pandangan kita diwarnai dari sudut pengalaman peribadi kita.

"Mungkin kerana sesuatu itu tidak dilabel Islam ataupun diwarnai pertimbangan politik yang menyebabkan sesuatu kesimpulan tafsiran kita tidak menepati hakikat sebenar," katanya ketika berucap pada majlis penghargaan penyelidikan Indeks Syariah Malaysia 2015 di sini, Selasa.

Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha dan Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah Malaysia (ISM) Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.

ISM merupakan yang pertama seumpamanya dibangunkan di dunia bagi mengukur keseriusan kerajaan dalam mencapai lima aspek Maqasid Syariah (dikehendaki oleh syarak) iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Indeks itu juga mengukur lapan bidang utama iaitu perundangan Islam, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran serta sosial.

Najib berkata Indeks Syariah akan memberi gambaran yang tepat mengenai polemik serta definisi negara Islam. 

"Saya sebagai perdana menteri, saya mesti tahu kalau masih ada lagi kekurangan, penambahbaikan dan pembetulan maka, saya perlu lakukan yang terbaik untuk meninggikan martabat Islam. "Lagipun, saya percaya pada satu prinsip iaitu kalau sesuatu boleh diukur,  maka sesuatu itu boleh dilakukan penambahbaikan, katanya. 

Najib berkata laporan indeks syariah itu merupakan usaha tepat kerana ia merupakan satu proses untuk memberi penjelasan kepada rakyat memahami dan memberi respons. 

Ia akan menjadi asas untuk membuat rumusan yang lebih tepat dan jelas. 

Saya juga berharap negara-negara lain menyertai usaha ini. Kita boleh jadikan ia satu program dalam kalangan negara-negara Islam yang lain. 

Apabila kita sebut, Malaysia akan menjadi negara Islam contoh di dunia.  Apabila kita sebut negara contoh, maka indeks syariah yang akan menjadi penanda aras kepada kenyataan tersebut, katanya. 

Najib berterima kasih kepada 133 penyelidik daripada lima universiti tempatan yang memberikan komitmen tinggi bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk melihat kajian Indeks Syariah menjadi kenyataan.-- Bernama 



Artikel Sebelum

Fairus Kini Bergelar YM Tunku

Artikel Berikut

Artikel Lain