suria

Semua Balai Bomba Guna Syif Kerja 12 Jam Mulai 2016

PUTRAJAYA: Semua balai bomba dan penyelamat di seluruh negara kini beroperasi menggunakan sistem syif kerja 12 jam, kata Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim.

Beliau berkata 30 buah balai terakhir yang mengamalkan sistem syif kerja 24 jam telah ditukar kepada syif kerja 12 jam bermula 1 Jan lepas.

"Syif kerja lebih kondusif dan mengutamakan kebajikan akan mendorong warga bomba memberikan perkhidmatan lebih baik," katanya ketika berucap pada Majlis Perbarisan Tahunan 2016 Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini, Selasa.

Wan Mohd Noor berkata pihaknya menyasarkan untuk mencapai 50 peratus daripada panggilan kecemasan, dapat dihadiri dalam tempoh 10 minit menjelang 2020.

"Bagi meningkatkan pencapaian masa tindak balas, lebih banyak balai bomba baharu perlu dibina di seluruh negara," katanya, yang menjangkakan jabatan itu akan mempunyai 400 balai menjelang 2020.

Pada tahun lepas, beliau berkata pihaknya menerima 80,183 panggilan kecemasan atau purata 220 panggilan sehari, penurunan sebanyak 17 peratus berbanding 97,252 panggilan pada tahun sebelumnya.

"Bilangan panggilan kecemasan yang tinggi pada 2014 disebabkan dua kejadian besar iaitu kemarau panjang pada awal tahun dan banjir besar pada penghujung tahun," katanya.

Bomba

Artikel Lain