suria

Himpunan Bantah TPPA: Polis Belum Terima Notis Lengkap Daripada Penganjur

KUALA LUMPUR: Polis masih belum menerima notis lengkap daripada penganjur perhimpunan Bantah Perjanjian Trans-Pasifik Asia (TPPA) yang dijadual diadakan di Dataran Merdeka, Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata pihaknya menerima pemohonan daripada penganjur yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan pada 12 Januari lepas, namun ia tidak dapat diproses kerana permohonan mereka tidak disertakan surat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

"Sehingga kini, pihak penganjur belum tampil untuk mengemukakan permohonan baharu," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Justeru, katanya orang ramai dinasihatkan supaya tidak melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dan dilarang membawa kanak-kanak pada perhimpunan yang dirancang itu.

"Kita akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada pihak yang cuba melanggar akta itu," katanya.

Zainol turut menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan barangan peribadi di kawasan terbuka dengan sengaja sehingga menimbulkan keraguan dan panik kepada masyarakat.

"Tindakan ini mampu mencetuskan perasaan panik kepada orang lain kerana menganggap ia barangan berbahaya," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian pada Ahad lepas melibatkan  Unit Pemusnah Bom, dikejarkan ke sebuah pusat beli-belah terkemuka di pusat bandar apabila dua beg galas yang mencurigakan ditinggalkan di bawah sebuah kerusi di pusat beli-belah berkenaan.

Hasil pemeriksaan, beg terbabit yang berisi pakaian telah ditinggalkan oleh dua pelancong warga Korea yang membeli-belah di situ.

Artikel Lain