suria

Stesen Kereta Api Klang Berisiko Ditutup

PETALING JAYA: Stesen kereta api Klang yang berusia 125 tahun mungkin akan dihentikan operasinya memandangkan stesen baharu akan dibina bersebelahan ibu pejabat Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Jalan Perbandaran.

Cadangan itu dibuat oleh Prasarana kepada Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) sejajar dengan cadangan penyusunan semula laluan Aliran Transit Ringan (LRT) 3.

Difahamkan Prasarana merancang untuk membina sebuah hentian kereta api untuk tren komuter berhampiran stesen LRT Bandar Klang yang dicadangkan di mana ia terletak di tanah rizab KTMB di Jalan Raya Barat.

Memandangkan pembinaan stesen kereta api baharu itu akan dibiayai oleh Prasarana, KTMB dipercayai tidak akan membantah cadangan itu.

Pengarah projek LRT3 Norila Nuh memberitahu StarMetro bahawa stesen komuter baharu itu bertujuan untuk menyediakan sambungan bagi penumpang LRT dan komuter.

Di bawah kehendak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad), Norila berkata, stesen LRT dan stesen kereta api mesti terletak bersebelahan antara satu sama lain untuk memastikan kemudahan pengangkutan awam bersepadu.

"Stesen LRT dan kereta api itu perlu berada dalam jarak 150 meter antara satu sama lain, '' kata beliau sambil menambah stesen kereta api yang dicadangkan akan dibina kira-kira 100 meter dari stesen LRT.

Norila berkata laluan pejalan kaki berbumbung juga akan dibina untuk menghubungkan stesen LRT dan hentian komuter itu.

Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada stesen kereta api sedia ada di Jalan Besar di Klang Selatan akan terus beroperasi.

"Kami masih belum mengadakan perbincangan dengan KTMB mengenai cadangan kami tetapi kami tidak menjangkakan bantahan daripada pihak berkuasa kereta api kerana stesen kereta api yang dicadangkan akan dibina oleh Prasarana selaras dengan kehendak Spad, '' katanya.

Tapak stesen kereta api baharu yang dicadangkan itu terletak kira-kira 400 meter dari stesen kereta api sedia ada di Jalan Besar.

Di bawah cadangan awal, Norila berkata, Prasarana tidak mempunyai rancangan untuk membina hentian komuter baharu kerana stesen LRT Bandar Klang sepatutnya terletak di Jalan Besar di mana ia terletak berhampiran stesen keretapi sedia ada.

Beliau berkata Prasarana terpaksa menyelaraskan semula laluan LRT3 selepas pemilik kedai dari Little India Klang membantah langkah untuk mewujudkan stesen LRT di Jalan Besar.

Artikel Lain