suria

Pasukan Keselamatan Sentiasa Lindungi Malaysia - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi.

PUTRAJAYA: Pasukan keselamatan Malaysia sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia untuk melindungi negara ini daripada sebarang ancaman, demikian jaminan yang diberi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Rakyat Malaysia diberi jaminan bahawa pasukan keselamatan kita sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk melindungi kita semua ketika kita tidur hinggalah apabila kita bangun pada keesokan harinya," kata beliau dalam kenyataan di sini, Isnin.

Ahmad Zahid berkata demikian berikutan peristiwa serangan pengganas di Indonesia, Burkina Faso, Turki dan beberapa negara lain baru-baru ini.

Pada waktu sama, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, menggesa orang ramai supaya mengelak daripada membuat sebarang spekulasi yang bukan sahaja boleh menimbulkan kekeliruan, tetapi juga salah tanggapan mengenai keadaan di negara ini.

"Di samping perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang ancaman, rakyat Malaysia juga perlu membiarkan pasukan keselamatan melaksanakan tugas mereka, tanpa sebarang rasa curiga dan prejudis.

"Kita patut bersyukur kerana berasa selamat dan terjamin apabila berada di jalan raya di mana-mana juga bandar di negara ini, terima kasih atas dedikasi dan kesetiaan pasukan keselamatan kita," katanya.

Ahmad Zahid juga menyeru seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira pegangan ideologi, supaya menyokong usaha kerajaan untuk menghapuskan ancaman keganasan yang kata beliau, boleh memusnahkan keamanan dan keharmonian negara. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar untuk memerangi keganasan secara habis-habisan, manakala Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula menjanjikan kerjasama penuh daripada pasukan bersenjata.

Ahmad Zahid berkata: "Ini peperangan baharu kami. Peperangan menentang keganasan, yang menuntut rakyat menyokong kami, bukan kerana politik, tetapi demi kepentingan dan kedaulatan negara." - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain