suria

Tubuh Jawatankuasa Khas Kawal Pekerja Asing Di Pasar Borong KL - Saravanan

Saravanan (dua, kanan) sewaktu melawat Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang pada Isnin. Foto BRIAN MOH / The Star

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau pekerja asing yang menjalankan perniagaan di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang. 

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan berkata, jawatankuasa itu perlu dianggotai pegawai daripada Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan wakil jawatankuasa peniaga pasar borong berkenaan. 

"Jawatankuasa ini perlu memantau dan mengawal kebanjiran pekerja asing yang menjalankan perniagaan sama ada secara haram atau menyewa daripada peniaga yang mempunyai lesen," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke pasar borong itu, dekat sini Isnin.

Beliau mengulas beberapa insiden kekecohan yang berlaku akibat pergaduhan antara rakyat tempatan dan pekerja asing dari Myanmar di kawasan pasar borong itu yang menyebabkan seorang maut, minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy memberi jaminan siasatan terperinci sedang dijalankan berhubung kejadian itu, dan berharap peniaga warga tempatan tidak mengambil tindakan mereka sendiri. 

"Sebanyak 80 anggota polis dikerah mengawal kawasan sekitar pasar borong ini dan kita sudah tahan 75 orang untuk membantu siasatan berikutan beberapa kes yang berlaku minggu lepas," katanya. - Bernama

M. Saravanan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain