suria

Semua Hospital Diarah Beri Laporan Keadaan Sistem Pendingin Hawa

Dr S. Subramaniam.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan memastikan sistem pendingin hawa di semua hospital kerajaan berfungsi pada tahap optimum dalam memberi keselesaan kepada orang ramai, kata Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada Isnin. 

Sehubungan itu, katanya semua pengarah negeri dan hospital telah diarah supaya mengemukakan laporan berhubung keadaan sistem pendingin hawa di hospital masing-masing. 

Ini bagi membolehkan tindakan segera diambil supaya perkhidmatan yang disediakan kepada orang ramai di hospital tidak terganggu, kata beliau. 

"Sesetengah hospital sudah wujud lama, sesetengah alat dan pendingin hawa juga lama, dan boleh mudah rosak," katanya kepada pemberita selepas sambutan perayaan Pongal peringkat MIC di ibu pejabat parti itu di sini. 

Beliau diminta mengulas kejadian kerosakan sistem pendingin hawa yang berlaku di hospital kerajaan di Kuantan, Selayang dan Segamat. 

Subramaniam berkata, tindakan baik pulih sistem pendingin hawa telah dilakukan di tiga hospital berkenaan, dengan kerja baik pulih di Hospital Segamat yang bermula sejak 9 Januari lepas dijangka siap pada Isnin.   

Sementara itu, Subramaniam meminta pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes kecurian data pesakit oleh kumpulan penyerang siber daripada sistem komputer hospital milik kerajaan dan swasta untuk berkongsi maklumat bagi membolehkan laporan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dibuat.   

Beliau berkata, pihaknya baru pertama kali mendengar kejadian seumpama itu dan mengharapkan maklumat lebih lanjut daripada pihak berkenaan. 

"Kalau perkara ini benar terjadi, pihak berkenaan termasuk media kena berkongsi maklumat dengan kita dan hospital swasta," katanya. 

Laporan akhbar pada Isnin menyebut terdapat sindiket membeli data pesakit yang dicuri oleh kumpulan penyerang siber daripada sistem komputer hospital milik kerajaan dan swasta di negara ini.  

Sindiket itu kemudian menjual set data kepada syarikat pembekal ubat-ubatan yang menjual ubat secara dalam talian. - Bernama

Artikel Lain